Yamaha Fuzzy 125 (2026) lancar di China, guna platform CFMOTO AURA 125?

Yamaha Fuzzy 125 (2026) ialah model skuter gaya neo-retro terbaharu diperkenalkan di China beberapa hari lalu.

Apa yang menarik perhatian ialah Yamaha Fuzzy 125 nampak macam ada persamaan dengan skuter CFMOTO AURA 125 di China.

Apa kaitan Fuzzy 125 dengan CFMOTO?

Laporan di China mendakwa Fuzzy 125 (kod ZY125T-20) ialah produk yang dibangunkan menerusi kerjasama antara Yamaha-CFMOTO melalui syarikat Zhuzhou CFMOTO-Yamaha Motorcycle Co., Ltd. Kenyataan rasmi pengumuman kerjasama Yamaha-CFMOTO ada kami selit di bawah artikel ini.

Malah Yamaha Fuzzy 125 didakwa dibangunkan menggunakan asas platform AURA 125 tetapi dengan beberapa sentuhan tersendiri untuk menampakkan perbezaan.

Harga & Warna Yamaha Fuzzy 125

Harga diumumkan untuk Yamaha Fuzzy 125 ialah 11,580 yuan (anggaran RM7,060). Ada empat warna untuk dipilih iaitu hitam, kelabu, putih dan biru.

Yamaha Fuzzy 125 ialah skuter kapasiti kecil yang disasarkan untuk kegunaan bandar (urban scooter) dengan tumpuan kepada pembeli daripada golongan generasi muda di China.

Bagi mereka yang gemarkan ciri teknologi moden dan mencari skuter kecil jenama Jepun bukan elektrik, ini sememangnya pilihan terbaik.

Ada apa dengan Yamaha Fuzzy 125 (2026) ?

Menariknya, skuter hasil kerjasama dua pihak ini mengangkat nama Yamaha ke tahap lebih kerana inilah skuter kecil (kelas 125cc) pertama jenama Yamaha di China dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Model CFMOTO AURA 125 sudah tersedia ada dengan brek cakera depan dengan teknologi ABS satu saluran.

Bukan itu sahaja, skuter Fuzzy 125 juga didatangkan teknologi Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS). Semua ini demi meningkatkan lagi tahap keselamatan penunggang.

Skuter kecil ini adalah produk pertama Yamaha buatan di China yang dilengkapi amaran sistem Signal Henti Kecemasan (ESS) apabila skuter dikesan membrek secara mengejut.

Ada empat cara boleh digunakan untuk mengaktifkan skuter iaitu menggunakan kad NFC, sensor Bluetooth, aplikasi dalam telefon dan menggunakan anak kunci.

Ada sistem pemantauan voltan bateri (BMS). Apabila voltan bateri skuter semakin lemah atau rendah, satu mesej amaran peringatan akan dipaparkan pada skrin meter TFT.

Skrin meter berwarna TFT 6.2 inci bukan hanya paparkan maklumat tunggangan tetapi boleh disambung dengan telefon pintar serta menyokong screen mirroring termasuk fungsi navigasi.

Skuter ini menggunakan tayar jenis semi slick untuk membantu meningkatkan daya cengkaman di jalan raya.

Enjin digunakan untuk Fuzzy 125 ialah unit enjin hibrid generasi baharu Yamaha (Smart Motor Generator System – SMG) dengan ciri pintar Sistem Mula (guna bantuan generator untuk permulaan enjin lebih senyap).

Enjin juga diadun dengan sistem Henti-Mula (Start Stop) untuk membantu penjimatan penggunaan petrol dan pelepasan emisi karbon apabila penunggang berhenti seketika.

Ada juga ciri sistem bantuan kuasa elektrik yang boleh membantu tingkatkan daya pecutan skuter selama tiga saat semasa memulakan perjalanan atau di permukaan mendaki.

Tongkat sisi ada suis mematikan kuasa ke enjin.

Lampu depan jenis projektor LED, siap dengan lampu DRL. Lampu signal dan brek juga LED.

Ada ruang simpanan bawah pelana untuk memuatkan sebuah topi keledar tetapi besar kemungkinan sesuai untuk helmet jenis open-face.

Tempat isi minyak sama seperti CFMOTO AURA 125 dan boleh menampung kapasiti sehingga 6.9 liter.

Spesifikasi Yamaha Fuzzy 125 (2026)

  • Enjin jenis satu silinder 125cc SOHC dengan sistem sejukan udara dan suntikan bahan api.
  • Gerek x lejangĀ 52.4mm x 57.9mm
  • Nisbah mampatan 10.2 : 1
  • Kuasa maksumum 6.1KW @ 6,750rpm
  • Tork maksimum 9.8Nm @ 5,000rpm
  • Transmisi automatik dengan pacuan tali sawat
  • Tangki minyak 6.9 liter
  • Tayar depan 100/80-12
  • Tayar belakang 110/70-12
  • Brek cakera depan dengan ABS, brek belakang jenis dram
  • Panjang 1,830mm
  • Lebar 700mm
  • Tinggi 1,140mm
  • Tinggi tempat duduk 765mm
  • Jarak roda 1,285mm
  • Jarak bumi 133mm
  • Berat kasar 108kg
  • Muatan maksimum 150kg

Artikel Berkaitan

Galeri Gambar Yamaha Fuzzy 125

Kenyataan Pengumuam Kerjasama Yamaha-CFMOTO