CIMA MOTOR 2026: Honda CB250SS Concept jadi model tarikan orang muda di China?

Honda CB250SS Concept ialah salah satu model jenama Jepun yang benar-benar menarik perhatian pengunjung di Pameran Perdagangan Antarabangsa Motosikal China (CIMA Motor) 2026.

Meskipun masih berstatus konsep, motosikal scrambler gaya retro itu menampakkan keterbukaan Honda di China untuk cuba meneroka dan memenuhi keperluan pasaran di sana.

Ada laporan mendakwa, jika model konsep ini menjadi produk tawaran sebenar, sasarannya ialah golongan generasi Z dan mereka yang inginkan kelainan.

Honda CB250SS Concept menggunakan enjin satu silinder 250cc DOHC 4-injap dengan sistem sejukan cecair yang dipercayai sama seperti model suku liter lain.

Pun begitu, mungkin talaan berbeza diberikan untuk versi scrambler. Ini kita perlu tunggu sehingga model itu diputuskan secara rasmi untuk dihasilkan oleh pihak Honda China.

Maklumat mendedahkan model konsep ini menggunakan frem jenis ringan, sistem suspensi belakang bersambung dengan Pro-Link, fork terbalik (USD) dan meter jenis TFT berwarna yang boleh disambung dengan aplikasi Honda RoadSync generasi kedua.

Imej retro diserlahkan dengan warna badan motosikal, warna balutan pelana dan gril pelindung lampu depan.