
Ada peminat berasa terkejut melihat harga asas yang diumumkan untuk tiga model ZXMOTO di Malaysia malam tadi.
Tag harga bawah RM40,000 tapi apa yang ditawarkan pada setiap model itu nampak cukup menarik, apatah lagi kalau membandingkan dengan model berjenama Jepun dan Eropah.

Tanpa berlapik, bila harga sesuatu motor murah….lagi-lagi dari China… akan ada mereka yang menyatakan:
“Motor China murah tak ada kualiti.”
“Sampah.”
“Motor pakai buang sebab tu murah.”
“Motor cap ayam.”
Dan…segala macam label lain.
Memandangkan harga motor ZXMOTO lebih rendah, satu pertanyaan mengenai strategi penetapan harga diajukan kepada pengasasnya, Zhang Xue semasa sidang media eksklusif di Kuala Kuala Lumpur semalam.
Ini jawapan Zhang Zue (diterjemahkan oleh Paul Huang):
“Kami beri satu contoh. Kira-kira 60 tahun lalu di pasaran Eropah, motosikal Eropah dijual pada harga tinggi di situ. Dan kedatangan motosikal Jepun ke pasaran itu, mereka menjual dengan perbezaan harga lebih rendah 30 peratus.
“Sekarang saya percaya anda semua tahu kualiti motosikal buatan Jepun. Mereka berjaya.
“Untuk ZXMOTO, mengapa kita boleh buat sedemikian (jual dengan harga lebih rendah) saya merasakan sebab utama ialah ini produk buatan di China.
“Di China ketika ini, kita ada bahan material yang bagus, pembekal yang bagus, teknologi yang lebih baik dan ini semua menyumbangkan kepada kepercayaan terhadap produk buatan China.
“Selain itu, kos pembuatan di China yang lebih rendah dan kebangkitan (keseluruhan industri) produk buatan China ini menjadikannya boleh.”
