VOGE SR450X: Skuter adventure 2 silinder akan masuk Malaysia dengan harga badan bawah RM30,000?

Tahun lalu, VOGE mencipta tarikan tersendiri di Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali menerusi model skuter adventure terbaharu mereka iaitu VOGE SR450X (2025).

Sebelum ini, VOGE pernah menyifatkan skuter ini adalah satu pakej yang menggabungkan keperluan kegunaan dalam bandar dan kembara termasuk off-road ringan.

Berdasarkan beberapa laporan dan desas-desus, VOGE SR450X dikatakan akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi dan ada pengedar sudah mengiklankan model skuter ini dengan anggaran harga badan bawah RM30,000.

Informasi yang kami dapati mengesahkan ada kebenaran harga sasaran tersebut dan VOGE SR450X memang akan membuat kemunculan di Malaysia Bike Show 2026 pada bulan Mei ini. Kehadirannya adalah sebagai tayangan model akan datang (future model).

Untuk berlaku adil, VOGE SR450X menggunakan enjin dua silinder sebaris dan ini mungkin memberi kelebihan kepada VOGE untuk menandingi pesaing skuter kelas pertengahan 300 hingga 400cc.

Antara model yang berkongsi kelas kapasiti sama (jika tidak ambil kira bilangan silinder) ialah Honda ADV350 yang baru memenangi anugerah skuter terbaik (atas 250cc) Malaysia selama dua tahun berturut-turut.

VOGE SR450X juga akan menerima saingan daripada empat model dalam keluarga Zontes 368 yang diperkenalkan di Malaysia baru-baru ini. Pencabar seterusnya adalah jenama Taiwan iaitu SYM ADXTG400 dan satu model baharu yang bakal tiba… Aprilia SR GT 400.

Spesifikasi lengkap untuk skuter VOGE SR450X ada di pautan ini: