SYM ADXTG400: Ini skuter adventure sebenar dalam kategori 300-400cc, masuk Malaysia Mei ini

Seronok juga melihat segmen skuter di Malaysia semakin berkembang dengan macam-macam model dilancarkan semenjak 2-3 tahun kebelakangan ini.

Dua segmen yang nampak lebih banyak dibanjiri produk-produk skuter ialah kategori bandar (city scooter atau urban scooter) dan kembara (adventure).

Dan dari dua kategori ini pula menampakkan kelahiran produk-produk skuter kacukan iaitu skuter bandar tapi gaya macam adventure.

Ada produk kacukan ini diberi tambahan nama ADV atau dikatakan skuter crossover dari pihak pengeluarnya. Contoh mudah ADV yang kami boleh beri ialah Honda ADV350 (jenama Jepun) dan contoh skuter crossover ialah Zontes 368G (jenama China).

Mungkin sebab dua skuter ini ada bentuk bar hendal mendatar yang boleh dilaras ke depan atau belakang, windshield (penghadang angin) boleh dilaras, fork panjang sikit, absober dengan subtank, bunga tayar bentuk blok, fog lamp (lampu kabus), crash bar dan hand guard.

Pada pandangan kami, banyak benda yang ditambah pada skuter kacukan sebenarnya lebih bersifat kosmetik. Senang cakap…nak kasi skuter nampak lebih bergaya, lebih rugged dan harga mahal sikit tapi dapat macam-macam aksesori.

Tak ada apa salah pun.. sebabnya aksesori macam ini mudahkan pengguna. Tak perlu kita cari aksesori sana sini dan buang masa ke kedai untuk pasang.

Di sebalik semua hiasan cantik itu, skuter bandar tetap sebuah skuter bandar…walaupun datang dengan gaya ala-ala adventure. Tapi….

Kalau nak sebuah skuter adventure sebenar… dengan sifat lebih tulen dan bukan gayaan semata-mata… kami sarankan model SYM ADXTG400.

Model ini jadi pilihan kami berbanding dua skuter bandar lain (Zontes 368G dan Honda ADV350) mengikut kelas kapasiti 300 hingga 400cc dan harga badan bawah RM30,000.

BANDING HARGA

  • Honda ADV350: RM33,999
  • ZONTES 368G: RM28,800
  • SYM ADXTG400: Anggaran sekitar RM29,000 atau bawah.

MENGAPA SYM ADXTG400?

Ada beberapa sebab mengapa SYM ADXTG400 jadi skuter adventure pilihan kami. Yang pertama ialah keseluruhan binaan model Taiwan ini lebih ke arah keperluan penunggang untuk merasai tunggangan adventure.

Bermula dari casis, saiz skuter, ergonomik posisi menunggang, sistem kawalan elektronik sehingga kepada aspek penetapan suspensi dan pacuan akhir belakang (end drive).

Reba bentuk bahagian tepi skuter ADXTG400 meniru bentuk badan macam Cheetah sedang mengejar mangsa.

Bar hendal jenis lebar dan tempat letak kaki pula jenis lebih panjang. Kalau mengikut penerangan SYM Taiwan, pemegang bar hendal boleh diterbalikkan atau dipusing dari arah depan ke belakang.

Tujuan ia untuk mendekatkan bar hendal ke penunggang atau menjauhkannya dari penunggang. Keputusan ini untuk penunggang supaya dapat posisi kendalian geometri yang terbaik ikut selera mereka.

Tangki minyak, bateri dan enjin diletak pada bahagian zon tengah casis dan ini menguatkan pemusatan titik graviti supaya lebih seimbang dan stabil.

Dalam enjin ADXTG400, ada dua balancer biaxial untuk mematikan kesan getaran dari enjin satu silinder. Balancer pertama di atas dan balancer kedua di bawah dengan posisi di tepi crank shaft (aci engkol).

Sistem suspensi belakang SANYANG multi-link yang ada pada ADXTG400 adalah inspirasi dari skuter MAXSYM TL. Suspensi ini bukan hanya beri keselesaan lebih baik tapi tindak balas sporty tanpa kira apa jenis permukaan bumi (on-road atau off-road).

ADXTG400 juga menggunakan konsep ‘pendekkan jarak roda tapi panjangkan swing arm’. Ini ciri teknikal kejuruteraan diguna untuk sport bike dan juga MAXSYM TL.

Lengan ayun atau swing arm ADXTG400 dihasilkan dari aluminium dan 20 peratus lebih pendek dari TL. Menariknya, berat swing arm ADXTG400 sama macam berat swingarm MAXSYM TL.

Mari tengok beza swing arm dan jarak roda ADXTG400 vsĀ  MAXSYM TL:

  • swing arm ADXTG400 lebih panjang 92mm dari MAXSYM TL.
  • Berat swing arm ADXTG400 dan MAXSYM TL ialah sama iaitu 7kg.

ADXTG400 dipasang sistem brek ABS Off-road Bosch 10.3MB dua saluran (dual channel – roda depan dan belakang). Ada juga Traction Control (TC).

Kalau aktifkan mode Off-road, brek ABS roda belakang akan dimatikan. Roda depan ada fungsi bantuan ABS tapi campur tangan sistem ABS dikurangkan (bukan sensitif sangat macam biasa). Boleh slide atas permukaan batu longgar atau buat burn-out.

LAPORAN LAIN:

SYM ADXTG 400
Enjin1 silinder, SOHC, 4-injap dengan Hyper VVT (2 cam untuk high dan low speed).
Kapasiti399cc
Kuasa maksimum25.7kW @ 7,000rpm (34.5hp)
Tork maksimum37.2Nm @ 5,500rpm
Bore x Stroke83mm x 73.8mm
Nisbah mampatan10.5 : 1
Sistem bahan apiEFI
Sistem penyejukanSejukan cecair
Kotak gearCVT automatik
Suspensi depanFork USD 41mm, travel 140mm
Suspensi belakangabsorber monoshock
Tayar depan120/70 - 15
Tayar belakang150/70 - 14
Brek depanCakera 275mm kaliper 4 piston radial
Brek belakangCakera 233mm kaliper 2 piston
Panjang2,166mm
Lebar920mm
Tinggi1,460mm
Jarak dari bumi160mm
Jarak roda1,535mm
Tinggi tempat duduk790mm
Tangki minyak13 liter
Berat213kg
Bonus- Sistem ABS Bosch dengan mode Off-road
- Ada hand guard dan engine guard
- ada USB
- Dua pengimbang dalam enjin
- Dua pam minyak untuk pelinciran setiap masa
- windshield boleh laras 2 tahap (manual)
- Ada Traction Control
- Meter LCD berwarna
- ruang simpanan 32 liter
- Swing arm macam motosikal
- bar hendal boleh dilaras