Cerita Gambar: SYM VFE 185i (2025) supermoped berwajah baru sudah tiba di Malaysia

SYM VFE 185i (2025) lancar di Malaysia untuk menggantikan model VF3 185

Malam tadi, SYM Malaysia menampilkan tiga model terbaharu iaitu satu motosikal dan dua skuter pada majlis makan malam Mid Autumn Gala di Kuala Lumpur.

Model motosikal terbaru mereka ialah jentera supermoped SYM VFE 185i (2025) yang akan menggantikan tempat model terdahulu SYM VF3i 185.

PANEL BADAN, LAMPU DEPAN

Model SYM VFE 185i menerima panel depan rekaan baharu dengan lampu DRL dipasang di bahagian kepala.

Lampu rendah dan lampu tinggi yang juga rekaan terkini sudah diposisi pada panel depan. Lampu tinggi jenis projektor berada di tengah dan dua lampu tepi adalah lampu rendah.

METER DIGITAL

Ya, ini adalah meter sebenar SYM VFE 185i (2025) untuk pasaran Malaysia. Meter jenis digital penuh berwarna dan bukan meter pecahan tiga seperti yang dipertonton di Vietnam Motor Show lalu.

Perubahan jenis dan bentur meter ini adalah permintaan pihak MForce Bike Holding (MForce) dan SYM menunaikannya. Tiada lagi kombinasi meter analog dan meter digital seperti sebelum ini.

Ini adalah pandangan yang anda akan lihat semasa berada di tempat duduk penunggang.

Memang betul, motosikal ini tidak nampak selebar supermoped lain tetapi saiznya sebenarnya bukannya ‘ramping’ atau ‘kurus’ sangat. Nampak bersesuaian dengan rekaannya.

SUIZ BUTANG KAWALAN

Butang konsol sebelah kanan ada butang pemula enjin dan ada butang lampu kecemasan (Hazard Light).

Konsol di sebelah kiri SYM VFE 185i (2025) pula ada lampu tinggi-rendah. Butang hon motosikal kini ada di bahagian tengah dan bukannya di bawah.

Butang untuk lampu signal diletakkan di bawah sekali. Mungkin kena ambil masa sedikit bagi penunggang yang tidak biasa dengan susunan butang sebegini.

SISTEM KEKUNCI PINTAR

Model SYM VFE 185i (2025) menggunakan sistem kekunci pintar (keyless) yang juga berfungsi untuk membuka tempat duduk.

Ini adalah susunan bawah tempat duduk dengan tempat isian minyak petrol di sebelah kiri-belakang. Tiada ruang simpanan bawah tempat duduk.

Kapasiti tangki minyak ialah 7 liter.

Alat untuk membuka palam pencucuh (spark plug), pemutar skru dan spanar pula diletak pada bahagian bawah tempat duduk. Seperti diceritakan tadi, ruang bawah pelana tiada tempat simpanan.

Pelana atau tempat duduk SYM VFE 185i ini masih jenis bersambung antara penunggang dan pembonceng. Bar pembonceng pula nampak seperti model sebelum ini.

LAMPU BELAKANG

Lampu belakang juga mengalami perubahan dengan lampu brek LED berbentuk lebih tirus-melintang. Lampu signal juga jenis LED.

SISTEM BREK, SUSPENSI, RIM

Fork dan sistem brek nampak sama seperti model terdahulu. Fork teleskopik SYM VFE 185i mempunyai jarak travel 80mm. Absober belakang jenis monoshock dengan jarak travel 32mm.

Brek cakera depan bersaiz 250mm manakala cakera belakang sebesar 200mm. SYM VFE 185i(2025) juga dilengkapi sistem brek ABS depan-belakang (2 saluran).

Kedua-dua rim aloi 17 mendapat balutan tayar tanpa tiub bersaiz 90/80-17 (depan) dan 120/80-17 di belakang. Pelindung ekzos nampak seperti menerima rekaan baharu.

ENJIN, TRANSMISI

Enjin dan kotak gear klac manual 6-kelajuan masih sama seperti model sedia ada. Enjin SYM VFE 185i jenis satu silinder 183cc SOHC menghasilkan kuasa 14.7kW @ 9,000rpm dan tork
17.46Nm @ 7,500rpm.

Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api (FI) dan sistem penyejukan cecair (liquid cooled). Sistem kotak gear jenis klac manual 6-kelajuan (ada klac tangan).

SOKET UBS

Satu ciri yang menjadi kebiasaan untuk model-model motosikal terbaru ialah soket UBS. Untuk SYM VFE 185i, soket USB Type-A disediakan di bawah-belakang meter.

Dibawah ini ada koleksi gambar-gambar lain menunjukkan keseluruhan motosikal SYM VFE 185i yang kru kami ambil semasa pelancaran malam tadi.

HARGA

SYM VFE 185i (2025) Arena Motosikal

Harga badan yang diumumkan SYM VFE 185i (2025) ialah RM9,988, tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

ArtikelSYM VF3 185 FI (2025) sudah tiba untuk sertai perang supermoped di Malaysia

ArtikelSYM VFE185i bakal gantikan SYM VF3 185 dengan harga badan bawah RM10,000?

ArtikelImej paten SYM VF3i 185 2024 generasi baharu kini terdedah

ArtikelSpyshot : Adakah ini SYM VF3i 185 2024 New Facelift Model?

KOLEKSI GAMBAR SYM VFE 185i