
Chopper. Jarang juga ada pengeluar yang menawarkan model motosikal dalam segmen ini di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan kapasiti enjin kecil.
Sekarang sudah ada. Inilah dia WMOTO Cruiser AMT 125 (2025). Motosikal gaya chopper ini dilancarkan dengan harga badan RM5,988 tak masuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
CHOPPER SKUTER PERTAMA MALAYSIA
Bukan hanya memegang status Chopper moden dengan harga paling mampu milik di Malaysia, motosikal ini ada keunikan di bahagian trenkuasanya.
WMOTO Cruiser AMT 125 (2025) ini menggunakan kotak gear jenis automatik. Di China, model ini dipanggil Cyclone YOMI keluaran Zonsen.
IMEJ KLASIK, KROM SANA SINI
Reka bentuk WMOTO Cruiser AMT 125 ini ala retro-klasik berjiwa moden. Tapi bentuk dan warna sebegini mungkin tertumpu kepada orang muda, ingin sesuatu yang lain atau mereka yang suka bergaya tanpa habiskan belanja besar.
Malah tona badan dengan warna pelana juga membantu menyerikan lagi imej motor-skuter ini selain penggunaan komponen krom dan bar hendal tinggi.
SISTEM LAMPU LED
WMOTO Cruiser AMT 125 (2025) menggunakan sistem lampu pencahayaan jenis LED termasuk untuk lampu depan, lampu signal belok dan lampu brek.
Lampu depan berbentuk bulat dengan lampu DRL di bahagian tengah, memisahkan lampu rendah dan lampu tinggi.
Lampu signal belok jenis capang juga berbentuk bulat dengan saiz yang agak kecil. Pun begitu, pencahayaannya cukup terang.
Lampu brek belakang berada di atas madgad belakang dan sebahagian kecil di bawah tempat duduk pembonceng. Bentuk lampu brek WMOTO Cruiser AMT 125 ala segitiga seiring rekaan madgad belakang.
KEKAL METER ANALOG

Instrumen meter yang diguna pada WMOTO Cruiser AMT 125 (2025) jenis meter analog dengan penggunaan jarum. Di bawahnya ada satu skrin LCD kecil dengan paparan petunjuk minyak dan jarak.
Butang petunjuk arah signal dan beberapa butang indikator/amaran lain ada di sebelah kiri dan kanan meter.
BUTANG KAWALAN ASAS, SIAP BUTANG LAMPU KECEMASAN
Konsol sebelah kiri dilengkapi butang signal belok di bahagian tengah, butang hon di bawah dan butang lampu kecemasan di sebelah atas (Hazard Light). Konsol kanan lebih ringkas dengan butang pemula enjin serta butang henti-mula.
ENJIN 125CC, KOTAK GEAR CVT
Chopper-skuter ini menggunakan enjin 4-lejang satu silinder berkapasiti 124cc SOHC dengan sistem penyejukan udara dan sistem suntikan bahan api (FI)..
Output kuasa ialah 5.8kW pada 8,000rpm (7.8hp) dengan tork puncak 8.8Nm pada 6,000rpm.
Kotak gear jenis automatik CVT dan rantai digunakan sebagai pacuan akhir di roda belakang.
RIM ALOI BEZA 4 INCI, BREK CAKERA DEPAN-BELAKANG
Chopper moden ini menggunakan rim aloi (sport rim) berbeza saiz iaitu 17 inci untuk roda depan dan 13 inci untuk roda belakang.
Tayar hadapan berukuran 80/90-17 dan roda belakang dibalut tayar saiz 140/70-13.

Untuk sistem henti, motosikal WMOTO Cruiser AMT 125 (2025) dilengkapi brek cakera untuk roda depan dan roda belakang. Tiada teknologi brek ABS.
Brek depan berdiameter 220mm dengan kaliper 2-piston. Saiz cakera belakang ialah 200mm dan diapit kaliper satu piston.
Perlu diakui, saiz badan chopper ini agak kecil dan sesuai untuk penunggang muda. WMOTO Cruiser AMT 125 ialah sepajang 2,120mm, lebar 818mm dan tinggi 1,130mm.
Jarak roda 1,425mm dan jarak antara tanah 160mm. Tempat duduk juga agak rendah iaitu 680mm. Berat? agak ringan iaitu 119kg.
Tempat duduknya jenis bersambung antara penunggang dan pembonceng. Siap ada corak atas permukaannya. Sebelum terlupa, tangki minyak model ini sebesar 6 liter.
ARTIKEL BERKAITAN
- WMOTO Cruiser AMT 125 (2025): Boleh tunggang Chopper macam skuter, konsep pulas dan jalan
- YOMI: Motosikal Chopper 125cc dengan kotak gear CVT akan lancar tak lama lagi, guna pacuan rantai?
- WMOTO EZ125i (2025) lancar dengan 4 warna pilihan, harga badan dari RM4,588
- WMOTO Bobbie VII Side Car (2025) dibuka tempahan, 100 unit pertama ada harga promosi special RM46,888



















