SYM VF3i 185 V2 merupakan sebuah model moped dengan enjin terbesar yang ditawarkan di pasaran Malaysia ketika ini. Ianya dilancarkan secara rasmi pada tarikh 27hb. Oktober 2019. Model tersebut merupakan kesinambungan kepada model terdahulu SYM VF3i 185 yang membuat kemunculan pertama dalam bulan April 2018.
Diedarkan oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., SYM VF3i 185 V2 dikuasakan enjin bersesaran 183cc dengan kuasa maksimum 17.7hp @ 8,500rpm dan tork puncak 15.3Nm @ 7,000rpm. Enjin berprestasi tersebut kemudiannya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan bersama-sama klac tangan manual. Sistem penyampaian bahan api untuk enjin dengan piawaian Euro 3 itu ialah sistem suntikan elektronik.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi SYM VF3i 185 V2 ini termasuklah lampu nyala siang LED yang terang, panel meter bergaya gabungan di antara digital dan analog, rekaan wajah bahagian depan yang bergaya dan sporty, lampu belakang LED, brek cakera depan besar dengan diameter 250mm dan kapasiti tangki bahan api 7 liter yang sangat sesuai untuk perjalanan jarak jauh tanpa perlu kerap mengisi petrol.
SYM VF3i 185 V2 boleh didapati dalam pilihan warna Emas (Special Edition), Biru, Merah dan Perak. Harga jualan asas yang ditetapkan bermula dari RM8,338.00 sehingga RM8,638.00. Untuk anda yang mementingkan kuasa dan kelajuan, moped dengan enjin terbesar ini dikatakan mempunyai kelajuan berdesup dan dengan mudah memintas kelajuan dua pencabarnya iaitu Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R.