Yamaha Indonesia sudah melancarkan skuter generasi ketiga Yamaha Aerox dengan empat varian untuk dipilih.
Model skuter baru itu dikenali sebagai Yamaha Aerox Alpha dan empat varian itu adalah Standard, CyberCity, Turbo dan Turbo Ultimate.
Saya akan asingkan cerita setiap varian dalam laporan berbeza untuk memudahkan bacaan. Laporan pertama ini membabitkan varian paling asas (basic) iaitu Yamaha Aerox Alpha Standard.
Skuter Aerox Alpha asas ini dijual dengan harga paling rendah dalam sirinya iaitu 29,900,000 rupiah (RM8,243.50) di bandar Jakarta.
Memandangkan ini adalah model paling mampu milik dalam siri Aerox Alpha, Yamaha Indonesia menyediakan pilihan warna paling banyak iaitu empat warna – Silver Yellow, Matte Blue, Red dan Black.
Aerox Alpha Standard memiliki reka bentuk sama seperti semua siri Yamaha Aerox Alpha (2025) dengan bentuk Super Sport yang lebih menonjol dengan garisan badan tajam.
Garisan badan skuter Aerox Alpha Standard mendapat ilham dari model superbike Yamaha YZF-R1M dengan hasrat meningkatkan rasa seronok semasa menunggang.
Lampu pada depan dan belakang Yamaha Aerox Alpha Standard adalah LED penuh untuk memastikan pencahayaan lebih jelas (visibiliti) dan meningkat keselamatan semasa menunggang di tempat gelap.
Lampu LED depan jenis berkembar dan pancaran cahaya lebih kemas dengan penggunaan projektor. Lampu DRL (daytime running lights) ada di atas lampu projektor dan lampu signal pula di atas lampu DRL.
Lampu brek di belakang dipisahkan dengan lampu signal dan berada di belakang tempat memasang nombor pendaftaran (nombor plat).
Meter yang digunakan untuk varian Aerox Alpha Standard ialah jenis digital sepenuhnya dengan latar hitam dan boleh disambung dengan aplikasi Yamaha Connect (Y-Connect).
Walaupun skuter ini adalah paling asas dalam siri Aerox Alpha, sistem brek depan dan belakang yang digunakan adalah cakera tunggal tetapi tidak tiada Sistem ABS.
Skuter ini ada port USB Type A untuk mengecas bateri telefon dan merupakan satu-satunya varian yang menggunakan anak kunci dalam semua siri Aerox Alpha.
View this post on Instagram
Data teknikal (spesifikasi) adalah seperti di bawah ini:
- Enjin 4-strok satu silinder 155.09cc SOHC 4 injap VVA dengan suntikan petrol (FI) dan penyejukan cecair.
- Kuasa maksimum 15.4PS @ 8,000rpm
- Tork maksimum 14.2Nm @ 8,000rpm
- Penghidup enjin menggunakan butang elektrik
- Nisbah mampatan 11.6: 1
- Transmisi V-belt CVT automatik
- Ukuran panjang 1,980mm
- Ukuran lebar 720mm
- Ukuran tinggi 1,170mm
- Jarak antara roda 1350mm
- Jarak dari bumi 145mm
- Tinggi tempat duduk 790mm
- Berat 124kg
- Tangki minyak 5.5 liter