Honda CBR650R 2024 ditawarkan di pasaran Thailand, harga bermula dari THB 327,300

Selain daripada model naked Honda CB650R 2024, pasaran Thailand turut menerima kehadiran model sport bike Honda CBR650R 2024. Model tersebut kini tampil dengan gaya rekaan facelift terbaharu yang lebih sporty, dan ditawarkan dalam dua varian Standard dan Honda E-Clutch.

Dengan teknologi canggih Honda E-Clutch, penunggangnya kini mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan klac tangan ketika menukar gear, seterusnya menjadikan tunggangan jentera berkenaan lebih mudah. Namun klac tangan masih dikekalkan, sama seperti varian Standard.

Kedua-dua varian Honda CBR650R 2024 tampil dengan dua pilihan warna iaitu Grand Prix Red dan Mat Gunpowder Black Metallic. Harga jualannya sebanyak THB 327,300 (RM 42,337.21) untuk varian Standard, manakala THB 347,300 (RM 44,924.27) untuk varian Honda E-Clutch.

Honda CBR650R 2024 turut dilengkapi ciri baharu yang menarik iaitu panel meter TFT berwarna bersaiz 5.0 inci, bersama-sama teknologi canggih Honda RoadSync. Turut tersedia ialah Handle Switch with Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan juga Emergency Stop Signal (ESS).

Di bahagian enjin, ianya kekal 649cc (liquid-cooled, 16-valve, DOHC, inline-4 cylinder) dengan kuasa maksimum 93.87hp @ 12,000rpm dan tork puncak 63Nm @ 9,500rpm. Tangki bahan api berkapasiti 15.4 liter, tinggi tempat duduk 810 mm, dan beratnya 207.8 kg (210 kg E-Clutch).