Honda CBR650R 2024 tampil berwajah baharu, kini tersedia dengan pilihan teknologi Honda E-Clutch

Honda Motor Europe baru-baru ini bukan saja memperkenalkan model Neo Sports Café Honda CB650R 2024, malah turut memperkenalkan model sport bike Honda CBR650R 2024.

Kedua-dua model berkenaan merupakan model generasi baharu, yang kini tampil dengan gaya rekaan yang lebih segar dan moden, di samping dilengkapi pilihan teknologi Honda E-Clutch.

Dengan teknologi canggih Honda E-Clutch, penunggangnya kini mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan klac tangan ketika menukar gear, untuk ciri tunggangan yang lebih mudah.

Di samping itu, Honda CBR650R 2024 juga kini dilengkapi paparan skrin TFT baharu bersaiz 5.0 inci berwarna sepenuhnya, lengkap dengan teknologi sambungan canggih Honda RoadSync.

Enjinnya pula kekal seperti model Honda CBR650R 2023, iaitu bersesaran 649cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC, inline-4 cylinder) dengan dua pilihan klac MT dan Honda E-Clutch.

Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 93.87hp @ 12,000rpm dengan tork puncak 63Nm @ 9,500rpm. Kapasiti tangki bahan api 15.4 liter, dan berat penuh 209 kg (E-Clutch 211 kg).

Ketinggian tempat duduk 810 mm, saiz tayar 120/70-17 (depan) dan 180/55-17 (belakang), dan dua pilihan warnanya ialah Grand Prix Red Tricolour dan Matt Gunpowder Black Metallic.

Honda CBR650R 2024 generasi baharu ini pastinya akan dilancarkan di pasaran Malaysia oleh Boon Siew Honda. Namun pelancarannya sudah tentu bukan dalam masa yang terdekat.

Galeri : Honda CBR650R 2024 (versi MT)

Galeri : Honda CBR650R 2024 (versi E-Clutch)