Honda CBR1000RR-R Fireblade 2024 dan Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2024 tiba di pasaran Jepun

Pada bulan November 2023 yang lepas, jentera super bike Honda CBR1000RR-R Fireblade 2024 dan Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2024 secara rasminya diperkenalkan di pasaran Eropah. Terkini, kedua-dua model berkenaan telah pun tiba di pasaran Jepun baru-baru ini.

Untuk musim 2024, CBR1000RR-R Fireblade dan CBR1000RR-R Fireblade SP, kedua-duanya kini telah menerima beberapa perubahan baharu yang lebih menarik. Antaranya ialah naik taraf spesifikasi enjin bagi meningkatkan lagi prestasi pecutannya, dalam julat kelajuan pertengahan.

Buat pertama kalinya, model tersebut kini menggunakan teknologi ‘two-motor throttle-by-wire (TBW)’ Honda, yang menyumbang kepada tahap pengendalian yang lebih baik. Berat motosikal pula kini telah dikurangkan, dengan mereka bentuk semula komponen rangka badan baharu.

Winglet, middle cowl dan under cowl juga kini tampil dengan rekaan baharu, demi meningkatkan lagi prestasi aerodinamik. Aspek kosmetik, Honda CBR1000RR-R Fireblade 2024 didatangkan dengan satu skim warna iaitu Grand Prix Red, manakala Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2024 mempunyai dua pilihan skim warna iaitu Grand Prix Red dan Matte Pearl Morion Black.

CBR1000RR-R Fireblade dan CBR1000RR-R Fireblade SP merupakan dua varian model yang berbeza. Ini kerana bagi varian SP, ianya dilengkapi sistem suspensi canggih daripada ÖHLINS, kaliper brek depan daripada Brembo, dan juga dilengkapi quick shifter sebagai ciri standard.

Di bahagian enjin, kedua-duanya dilengkapi enjin yang sama bersesaran 1,000cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC, Inline-4) dengan sistem transmisi enam kelajuan. Prestasi maksimum yang dihasilkan mencapai 214.5hp @ 14,000rpm dengan tork puncak 113Nm @ 12,000rpm.

Untuk pasaran domestik Jepun, Honda CBR1000RR-R Fireblade 2024 dan Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2024 telah memulakan jualannya pada tarikh 1 Mac 2024. Harga untuk kedua-duanya masing-masing 2,486,000 Yen (RM 74,813.36) dan 2,849,000 Yen (RM 85,734.88).