Yamaha YZF-R25 2024 diperkenalkan dengan warna baharu Glacier White, harga kekal RM 22,998.00

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan Yamaha YZF-R25 2024, yang kini tampil dengan warna baharu Glacier White. Pilihan warna baharu itu ditawarkan bersama-sama warna Racing Blue, yang dibawakan daripada model Yamaha YZF-R25 2023. Harganya kekal sama iaitu sebanyak RM 22,998.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Dengan setiap pembelian, HLYM turut menawarkan kunci cakera Yamaha secara percuma. Tempoh jaminannya adalah selama 2 tahun atau 20,000 km perjalanan, yang mana tiba dahulu. Beralih ke bahagian spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan, tiada sebarang naik taraf baharu, termasuklah enjinnya yang kekal sama bersesaran 249cc (8-injap, DOHC, sejukan cecair).

Enjin dua silinder sebaris itu menghasilkan kuasa maksimum 35.5hp @ 12,000rpm dengan tork maksimum 22.6Nm @ 10,000rpm. Spesifikasi lengkap lain adalah seperti tangki bahan api 14.3 liter, fork depan USD, suspensi belakang mono, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS Dual Channel, dan tayar depan dan belakang bersaiz 110/70-R17 dan 140/70-R17.

Model tersebut seterusnya didatangkan ciri-ciri menarik seperti panel meter digital LCD pelbagai informasi, sistem lampu LED sepenuhnya, tempat duduk yang selesa pada ketinggian 780 mm, dan berat hanya 169 kg. Di pasaran Malaysia pada ketika ini, Yamaha YZF-R25 2024 bersaing dengan dua lagi model popular iaitu Honda CBR250RR dan Modenas Ninja ZX-25R SE.