Pasaran Malaysia bakal menerima pelancaran rasmi model sport bike terbaharu Modenas Ninja ZX-25R, pada awal September 2023. Namun untuk makluman anda, pasaran negara kita sebenarnya telah pun ditawarkan sebuah model sport bike yang sporty dan berkuasa.
Model tersebut ialah Honda CBR250RR 2022, yang kali terakhir dilancarkan dengan pilihan warna Trico Edition pada bulan Disember 2021. Satu lagi pilihan warna yang tersedia ialah Mat Gunpowder Black Metallic. Lebih menarik ialah harga jualannya sangat berpatutan.
Untuk pasaran Malaysia, Honda CBR250RR ditawarkan dengan harga asas RM 25,999.00. Sementara itu untuk model Modenas Ninja ZX-25R yang bakal dilancarkan dalam varian SE dan RR, anggaran harganya dikatakan lebih tinggi, antara RM 33k sehinggalah RM 40k.
Namun semuanya bergantung kepada penilaian dan minat masing-masing. Kelebihan yang ditawarkan oleh Honda CBR250RR ialah harganya yang lebih rendah. Namun untuk model Modenas Ninja ZX-25R, ianya dilengkapi enjin 250cc dengan teknologi empat silinder.
Imbas kembali spesifikasi Honda CBR250RR. Enjinnya bersesaran 249cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 8-Valve, DOHC, Parallel Twin Cylinder) dengan sistem transmisi 6-kelajuan. Jumlah kuasa maksimumnya 41PS @ 13,000rpm dengan tork maksimum 25Nm @ 11,000rpm.
Honda CBR250RR merupakan sebuah model bertaraf perlumbaan. Ianya dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch, Quick Shifter dan Throttle-By-Wire. Suspensi depannya telah ditala untuk tahap pengendalian yang terbaik, sama ada di kawasan bandar atau pun di litar.
Ciri-ciri menarik lainnya termasuklah tiga mod tunggangan (Comfort / Sport / Sport+), panel meter digital LCD dengan paparan posisi gear, sistem lampu LED, kapasiti tangki bahan api 14.5 liter, brek cakera dengan ABS Dual Channel, dan ketinggian tempat duduk 790 mm.
Tayar depan dan belakangnya didatangkan dalam siri 110/70-17 dan 140/70-17, dan berat model sporty itu ialah 168 kg (kerb weight). Untuk anda yang mementingkan tahap kelajuan tertinggi, Honda CBR250RR mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 180 km/j.