Model sport bike Suzuki GSX250R-A 2024 baru-baru ini telah dilancarkan di pasaran China, kini dilengkapi lampu depan LED baharu dan Assist & Slipper Clutch (ASC). Pilihan warnanya tujuh kesemuanya, manakala harga jualannya ditetapkan sebanyak ¥21,680.00 (RM 14,145.54).
Untuk makluman, harga itu turun sebanyak ¥5,000.00 daripada harga lama yang sebelum ini ditawarkan untuk model tahun 2022. Imbas kembali aspek spesifikasinya, Suzuki GSX250R-A 2024 dilengkapi enjin bersesaran 248cc (liquid-cooled, 4-stroke, 2-cylinder, SOHC, 2-valve).
Dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 24.66hp (18.4kW) @ 8,000rpm dengan tork 23.4Nm @ 6,500rpm. Spesifikasi lain seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, dan tangki bahan api berkapasiti 15 liter.
Suzuki GSX250R-A 2024 seterusnya dilengkapi handlebar jenis clip-on, panel instrumen digital, lampu belakang LED, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, tayar bersaiz 110/80-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang), tinggi tempat duduk 790 mm, dan berat hanya 178 kg.
Untuk pasaran Malaysia, setakat ini tidak pasti bilakah Suzuki GSX250R-A ini akan dilancarkan. Namun ketika ini di pasaran Malaysia, Suzuki telah menawarkan model Suzuki Gixxer SF250 2023, yang dilengkapi enjin 249cc satu silinder, pada harga asas sebanyak RM 15,200.00.