Model yang dikenali dengan nama Yamaha SRV-1 keluaran tahun 1999 ini mirip model popular Yamaha RX-Z 135. Bezanya ialah Yamaha SRV-1 ini dilengkapi enjin empat lejang yang dipercayai bersesaran 150cc, sama seperti model Yamaha SR-Z keluaran tahun 1993 dan 1994 yang mempunyai rekaan sama seperti Yamaha RX-Z 135.
Pasarannya pula kemungkinan besar ialah pasaran China dan Taiwan, atau boleh jadi juga ianya pernah ditawarkan di pasaran India. Perbezaan paling ketara Yamaha SRV-1 dengan Yamaha RX-Z 135 selain daripada perbezaan enjin ialah rekaan cowl depannya yang kelihatan tajam dan berlainan, serta terdapat lampu kecil di atas lampu utama.
Bagi model yang dipaparkan di sini, Yamaha SRV-1 1999 ini didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu kuning, merah dan ungu. Jika model ini ditunggang di jalan raya negara kita yang lebih mengenali Yamaha RX-Z dengan enjin dua lejangnya, pasti ianya akan menarik perhatian ramai, kerana reka bentuk dan juga bunyi enjinnya.