Selain daripada model standard Yamaha Tracer 7 2023, Yamaha turut memperkenalkan versi yang lebih lengkap iaitu Yamaha Tracer 7 GT 2023 untuk pasaran Eropah. Kedua-duanya dilengkapi naik taraf yang sama seperti panel TFT 5.0 inci, suis handlebar lebih ergonomik, fork depan diperhalusi semula prestasinya, brek cakera depan kini lebih besar, dan tersedia ‘pre-wired’ untuk quickshifter.
Namun untuk Yamaha Tracer 7 GT, ianya mempunyai beberapa kelebihan sebagai sebuah jentera touring yang lebih selesa dan lebih praktikal. Antaranya kelengkapan kotak sisi (hard side cases) 20 liter yang kompak, skrin touring yang kini 92 mm lebih tinggi dan 70 mm lebih lebar, tempat duduk yang direka lebih selesa, dilengkapi pad tangki sisi, dan termasuklah mempunyai carrier belakang.
Spesifikasi lain pada Yamaha Tracer 7 GT 2023 adalah sama seperti mana versi standard Yamaha Tracer 7 2023. Enjinnya 689cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves) bertaraf Euro 5, dilengkapi transmisi enam kelajuan. Prestasi maksimum 72.4hp @ 8,750rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm. Untuk perjalanan yang lebih jauh, ianya turut dilengkapi tangki petrol berkapasiti 17 liter.
Spesifikasi menarik lain yang melengkapi Yamaha Tracer 7 GT ini termasuklah suspensi belakang boleh laras, skrin penghadang angin aerodinamik boleh laras dengan hanya sebelah tangan, sistem lampu LED, pengecas USB, tinggi pelana 835 mm, saiz tayar 120/70-17 dan 180/55-17, dan berat hanya 197 kg. Tiga pilihan warnanya ialah Icon Performance, Phantom Blue dan Midnight Black.