Untuk pasaran Eropah, Yamaha menawarkan model touring Yamaha Tracer 7 2023, yang kini telah menerima beberapa naik taraf terkini. Antaranya panel meter TFT 5.0 inci berwarna baharu, dengan ciri sambungan ke telefon pintar menggunakan aplikasi Yamaha MyRide. Panel meter tersebut turut mempunyai dua pilihan paparan tema iaitu ‘Touring’ dan ‘Street’, untuk kemudahan penunggang.
Di samping itu, suis handlebar kini telah direka semula lebih ergonomik, bagi membolehkan operasi meter dijalankan dengan mudah seperti menukar tema dan sebagainya. Di bahagian suspensi, fork depan boleh laras Tracer 7 kini telah diperhalusi semula untuk prestasi tunggangan yang seimbang dan lebih versatile. Lebih dari itu, fork depan itu juga kini boleh dilaraskan dengan lebih mudah.

Yamaha Tracer 7 2023 turut menerima naik taraf sistem brek cakera depan, di mana saiz cakera itu kini lebih besar kepada 298 mm. Ini membolehkan prestasi pemberhentian jentera itu meningkat ke tahap yang lebih cemerlang, sama ada ketika ianya ditunggang di kawasan bandar atau di kawasan pergunungan. Selain itu untuk pemasangan quickshifter, model itu turut tersedia secara ‘pre-wired’.
Di bahagian enjinnya, Yamaha Tracer 7 masih mengekalkan enjin dua silinder bersesaran 689cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves) yang bertaraf Euro 5, dengan transmisi enam kelajuan. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 72.4hp @ 8,750rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm. Untuk perjalanan yang lebih jauh, model touring itu kemudiannya dilengkapi tangki petrol 17 liter.
Spesifikasi menarik lain yang melengkapi Yamaha Tracer 7 2023 ini termasuklah suspensi belakang boleh laras, skrin penghadang angin aerodinamik boleh laras dengan hanya sebelah tangan, sistem lampu LED, pengecas USB, tinggi pelana 835 mm, saiz tayar 120/70-17 dan 180/55-17, serta berat hanya 197 kg. Tiga pilihan warnanya pula ialah Midnight Black, Icon Performance dan Redline.



















































