Kymco KRV Moto 180 2022 di pasaran Taiwan menggunakan transmisi CVT dengan rantai

Pada tarikh 01hb. September 2022 yang lalu, Kymco dengan rasminya telah melancarkan sebuah model skuter terbaharu untuk pasaran Taiwan, yang diberi nama Kymco KRV Moto 180 2022. Ianya tampil dengan tiga pilihan warna menarik seperti Psychedelic Green, Restless Red dan Cold White, dengan harga jualannya ditetapkan sebanyak 119,800.00 TWD, bersamaan nilai RM 17,524.35.

Kymco KRV Moto 180 dikuasakan enjin bersesaran 175.1cc, dengan kuasa maksimum 16.8hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 15.48 Nm @ 6,500rpm. Menariknya ialah model skuter serba moden itu menggunakan sistem transmisi CVT dengan rantai, yang menawarkan prestasi pecutan mantap. Model seberat 147 kg itu kemudiannya dilengkapi kapasiti tangki bahan api memuaskan 7.2 liter.

Pelbagai ciri-ciri menarik melengkapi Kymco KRV Moto 180, antaranya termasuklah sistem lampu LED, sistem kunci keyless, sistem brek cakera dengan ABS, TCS dengan suis aktif dan pasif, soket dwi pengecas USB dengan ciri pengecasan pantas, ruang storan di bawah tempat duduk 25 liter, tempat duduk dengan ketinggian 795 mm, dan roda 110/70-13 (depan) dan 130/70-13 (belakang).