Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) bakal melancarkan model skuter terbaharu Yamaha TMAX 560 2022 untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi. Setakat ini tempahan untuk model tersebut telah pun dibuka oleh wakil pengedar sah Yamaha di seluruh Malaysia. Yamaha TMAX 560 2022 merupakan kesinambungan kepada model Yamaha TMAX 560 2021, yang sebelum ini dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Oktober 2021 yang lepas.
Di pasaran Eropah, Yamaha TMAX 560 2022 buat pertama kalinya diperkenalkan pada bulan November 2021, dengan reka bentuk serba baharu yang lebih sporty, agresif dan lebih kompak. Model skuter berprestasi tinggi itu turut menerima naik taraf terkini di bahagian rim roda dan suspensi, yang menawarkan prestasi pengendalian yang lebih sporty. Tiga pilihan warna menarik yang ditawarkan pula ialah Extreme Yellow, Icon Blue dan Sword Grey.
Yamaha TMAX 560 2022 dikuasakan enjin bersesaran 562cc (liquid-cooled, parallel twin-cylinder, EURO5, 4-stroke, 4-valves, DOHC) dengan gandingan sistem transmisi automatik CVT. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 46.93hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 55.7Nm @ 5,250rpm. Bersama-sama sistem ekzosnya yang sporty dan lebih moden, keluaran bunyi yang dihasilkan oleh skuter maxi tersebut kini adalah lebih berkuasa, jelas dan mendalam.
Setakat ini tarikh pelancaran rasmi belum diumumkan oleh HLYM, namun ianya dijangkakan berlangsung dalam masa yang terdekat ini. Apa yang menjadi perhatian ramai ialah harga jualan asas yang bakal ditawarkan oleh HLYM. Adakah lebih tinggi berbanding harga Yamaha TMAX 560 2021 yang dijual dengan harga asas RM 72,288.00?