Modenas Ninja ZX-25RR 2023 untuk pasaran Malaysia, anggaran harga antara RM 35k ke RM 40k

Pasaran Indonesia baru saja menerima kehadiran model sport bike Kawasaki Ninja ZX-25R 2023, dalam versi Standard dan ABS SE. Pada masa yang sama, Kawasaki Motor Indonesia telah melakukan kejutan dengan memperkenalkan versi paling atas Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023 terbaharu, dengan sistem suspensi yang lebih canggih dan berprestasi tinggi.

Sebelum ini untuk pasaran Malaysia, Modenas telah mengumumkan bahawa syarikat pengeluar motosikal tempatan itu bakal melancarkan model Kawasaki Ninja ZX-25R, dan ianya akan dikenali dengan nama Modenas Ninja ZX-25R yang dipasang secara CKD. Namun dengan pelancaran model Ninja ZX-25RR terbaharu ini, adakah bermakna model yang akan dilancarkan nanti ialah Modenas Ninja ZX-25RR 2023?

Biar model atau versi mana pun yang akan dilancarkan oleh Modenas nanti, peminat motosikal tempatan pastinya akan menerimanya dengan hati yang terbuka. Ninja ZX-25R sememangnya merupakan sebuah model sport bike sporty dengan enjin 250cc empat silinder yang sangat dinanti-nantikan kehadirannya di pasaran Malaysia sejak beberapa tahun yang lepas.

Cuma apa yang menjadi kerisauan di kalangan peminatnya ialah mengenai harga yang akan ditawarkan untuk model tersebut, memandangkan harga jualan terkini di pasaran Indonesia telah pun meningkat. Untuk pasaran Indonesia, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 dalam versi Standard dan ABS SE masing-masing didatangkan dengan tanda harga sebanyak RM 31.8k dan RM 37.4k, berdasarkan nilai mata wang semasa. Bagi model Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023 pula, harga jualannya mencecah paras RM 39.4k.

Untuk pasaran Malaysia, dijangkakan Modenas akan menawarkan versi teratas iaitu Modenas Ninja ZX-25RR 2023, kerana ianya merupakan versi dengan spesifikasi yang serba lengkap. Model berkenaan akan dipasang secara CKD bagi membolehkan harga jualannya ditetapkan ke paras minima. Setakat ini berdasarkan ramalan awal, Modenas Ninja ZX-25RR 2023 akan ditawarkan dengan harga jualan di antara RM 35k sehingga RM 40k.

Mungkin harga yang bakal ditetapkan itu boleh dikatakan tinggi, namun melihat kepada spesifikasi yang ditawarkan dan juga berdasarkan kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia berbanding US Dollar, anggaran harga itu adalah munasabah. Untuk melihat ianya ditawarkan pada harga sekitar RM 30k atau di bawah paras tersebut, pastinya agak sukar walaupun tidak mustahil. Setakat ini, kita tunggu pelancaran rasmi model tersebut yang dijangka berlangsung pada tahun depan.