Honda Forza 350 2023 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bermula dari RM 22,157.93

Honda di pasaran Thailand hari ini rasmi melancarkan model skuter maxi terbaharu Honda Forza 350 2023. Harga jualan yang ditawarkan bermula dari THB 179,000, bersamaan nilai RM 22,157.93 mengikut kadar semasa. Model berkenaan tampil dalam pilihan dua varian iaitu varian RoadSync Type yang dilengkapi dengan HSVCs (Honda Smartphone Voice Control System), dan varian Standard Type tanpa kemudahan sistem sambungan canggih tersebut.

Pilihan warna yang ditawarkan pula ialah Stormy Grey dan Eclipse Black untuk varian RoadSync Type, manakala untuk varian Standard Type, kedua-dua pilihan warna tersebut ditawarkan bersama-sama dua pilihan warna Solar Red dan Energetic Blue. Berbanding Honda Forza 350 2021/2022, Honda Forza 350 2023 kini tampil lebih sporty dan lebih menyerlah, di mana model skuter berkenaan kini telah menerima tiga naik taraf terkini yang lebih menarik.

Ketiga-tiga naik taraf terkini itu ialah kelengkapan lampu depan LED terbaharu (New Dual LED Headlight), rekaan panel meter pelbagai fungsi terbaharu (New Multi-Function Meter Design), dan rekaan lampu belakang terbaharu (New Taillight Design) yang kini kelihatan lebih elegan dan menawan. Di samping itu, pelbagai ciri-ciri menarik lain yang dibawakan daripada model generasi sebelumnya terus dikekalkan untuk musim terbaharu ini.

Antaranya seperti sistem Honda Smart Key / Honda Smart Controller, pengecas USB dan pemegang botol terbina dalam di bahagian konsol depan, skrin penghadang angin 150 mm boleh laras, sistem lampu LED sepenuhnya, ESS (Emergency Stop Signal), ruang di bawah tempat duduk yang luas, sistem brek ABS 2-Channel, dan enjin eSP+ bersesaran 329.6cc (4 stroke, 4 valve, liquid-cooled, PGM-FI) yang dipadankan dengan transmisi automatik V-Matic.

Honda Forza 350 2023 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 11.7 liter, tayar depan bersaiz 120/70-R15, tayar belakang bersaiz 140/70-R14, tinggi tempat duduk 780 mm, jarak kelegaan bumi 140 mm, dan berat yang mencapai 187 kg (net weight). Untuk pasaran Malaysia, ketika ini Boon Siew Honda menawarkan Honda Forza 250 2021/2022, dengan harga jualan asas RM 25,388.00. Dijangkakan Honda Forza 250 2023 akan tiba di pasaran Malaysia pada tahun depan.