KTM RC 200 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 15,888.00

KTM Malaysia (Eurotech Wheel Distribution Sdn. Bhd.) baru-baru ini rasmi melancarkan sebuah model sport bike terbaharu untuk pasaran tempatan, iaitu KTM RC 200 2022. Ianya ditawarkan dengan harga jualan asas RM 15,888.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dengan tempoh jaminan selama 2 tahun tanpa had perbatuan.

Di pasaran Malaysia, KTM RC 200 ini akan bersaing dengan beberapa buah model lain seperti Modenas Pulsar RS200, GPX Demon GR200R SE, dan termasuklah beberapa buah model lain dalam kelas 150cc iaitu Suzuki GSX-R150, Honda CBR150R dan juga Yamaha YZF-R15M yang hadir dengan enjin 155cc VVA dan pelbagai teknologi terkini.

Antara kelebihan yang boleh didapati pada model KTM RC 200 generasi serba baharu ini termasuklah reka bentuknya yang lebih menarik, sporty dan agresif, serta enjin yang lebih berkuasa dengan prestasi yang dipertingkatkan. Enjin bersesaran 199.5cc dengan sistem sejukan cecair itu berupaya menawarkan kuasa maksimum 25.47hp dengan tork 19.5Nm, seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan yang lancar.

KTM RC 200 2022 mempunyai berat yang lebih ringan berbanding model sebelumnya, melalui penggunaan kerangka baharu yang dikatakan 1.5 kg lebih ringan, sistem brek depan dan belakang baharu daripada ByBre dengan pengurangan berat sehingga 960 gram, dan rim roda baharu yang kini 1.0 kg lebih ringan untuk pengendalian lebih baik.

Di bahagian suspensi, ianya dilengkapi sistem suspensi depan WP APEX big piston fork dan suspensi belakang WP APEX, ditala semula untuk prestasi tunggangan yang lebih sporty. Beralih ke bahagian brek, cakera depan 320 mm 4-piston dan cakera belakang 230 mm, lengkap dengan Supermoto ABS, menjamin tahap keselamatan tertingginya.

Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan api kini mempunyai kapasiti lebih besar iaitu 13.7 liter. KTM RC 200 2022 juga dikatakan menawarkan corak tunggangan yang lebih selesa dan ergonomik, sama ada untuk tunggangan agresif di litar atau lebih santai untuk tunggangan harian, dan pastinya sesuai untuk kebanyakan penunggang.

Spesifikasi menarik lainnya termasuklah panel instrumen digital LCD, lampu depan jenis halogen terbaharu dengan lampu LED DRL, lampu signal dan lampu belakang LED dan dua skim pilihan warna yang menarik. KTM RC 200 2022 ini mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 824 mm, sementara berat keringnya (dry weight) hanyalah 151 kg.