KTM 890 Duke R 2022 kini di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 75,800.00

KTM Malaysia di bawah edaran Eurotech Wheel Distribution Sdn. Bhd. secara rasminya baru-baru ini memperkenalkan sebuah jentera naked kelas pertengahan terbaharu KTM 890 Duke R 2022. Tampil dengan satu pilihan warna Atlantic Blue, harga jualan asasnya ialah sebanyak RM 75,800.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

KTM 890 Duke R 2022 yang turut dikenali dengan nama panggilan “The Super Scalpel” ini dikuasakan enjin bersesaran 889cc (2-cylinder, 4-stroke, parallel twin), yang menjana kuasa maksimum 121hp dengan tork setinggi 99Nm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, bersama-sama PASCâ„¢ Anti-Hopping Clutch.

Turut melengkapi jentera naked berprestasi tinggi itu ialah tangki bahan api 14 liter, fork depan WP APEX 43, suspensi belakang monoshock WP APEX, brek cakera depan dan belakang Brembo dengan ABS Bosch 9.1 MP (termasuk Cornering ABS dan Supermoto ABS), 6D lean angle sensor dan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Street dan Sport. Mod tunggangan Track pula merupakan mod pilihan untuk aksi mengejar masa di litar.

Ciri-ciri menarik yang lain pada KTM 890 Duke R adalah seperti panel meter digital TFT, sistem lampu LED sepenuhnya, rim roda yang ringan dan berat keringnya hanyalah 166 kg. Tinggi tempat duduk berada pada paras 834 mm, jarak kelegaan bumi 206 mm, dan ianya turut memiliki handlebar aluminium yang tirus dan muffler ekzos ‘stainless steel’.