Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada kelmarin dengan rasminya telah melancarkan model terbaharu Yamaha YZF-R15M 2022 untuk pasaran Malaysia. Hadir dalam pilihan warna Signature M dan Monster Energy Edition, harga jualan asasnya adalah sebanyak RM 14,998.00 sahaja, dan ianya tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Merupakan versi premium, Yamaha YZF-R15M dikuasakan enjin 155cc (sejukan cecair, 4-lejang, SOHC, 4-injap, VVA) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, sistem Assist & Slipper Clutch dan Quick Shifter. Enjin berprestasi dan cekap itu kemudiannya menghasilkan kuasa maksimum 19hp @ 10,000rpm dengan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.
Yamaha YZF-R15M turut dilengkapi Traction Control System (TCS), brek ABS dua hala, rekaan handlebar crown yang diinspirasikan daripada model Yamaha YZR-M1, paparan meter digital LCD penuh berkonsepkan Yamaha YZR-M1, lampu depan LED dwi-fungsi, tongkat sisi dengan suis pemati enjin, dan reka bentuk keseluruhan yang aerodinamik.
Spesifikasi menarik lain pada model sports itu termasuklah kapasiti tangki bahan api 11 liter, suspensi depan terbalik, tayar belakang lebar, casis Deltabox, tinggi tempat duduk 815 mm, dan berat isi hanyalah 140 kg. Lebih menarik, Yamaha YZF-R15M dilengkapi sistem sambungan canggih Yamaha Y-Connect yang memiliki pelbagai fungsi berguna.
Setiap pembeli akan menerima kunci cakera Yamaha percuma bernilai RM 100. Malah pembelinya juga berpeluang menjadi ahli Kelab M-Cru secara ekklusif, dengan pelbagai faedah menarik seperti Acara Track Day Eksklusif, Kursus Kemahiran Menunggang, Merchandise Istimewa MCRU, Pengalaman Konvoi MotoGP istimewa dan banyak lagi.