Modenas Pulsar RS200 2021 tampil dengan skim warna dan jalur grafik baharu, harga jualan asas RM 9,990.00

Salah satu model keluaran Modenas yang ditawarkan di pasaran Malaysia pada ketika ini ialah Modenas Pulsar RS200. Model tersebut dilancarkan secara rasmi pada bulan Mei 2017 yang lalu, hasil kerjasama di antara Modenas dan Bajaj Auto dari India.

Kini untuk terus merancakkan lagi jualannya, Modenas hari ini telah memperkenalkan Modenas Pulsar RS200 2021 terbaharu, dalam tiga skim pilihan warna dan jalur grafik baharu yang dikenali dengan nama Burnt Red, Pearl White dan juga Pewter Grey.

Selain daripada itu, Modenas Pulsar RS200 2021 ini juga didatangkan bersama-sama kemasan rim roda berwarna putih yang kelihatan lebih menawan, kemasan karbon di bahagian depan dan belakang, serta logo Pulsar di bahagian tempat duduknya.

Aspek spesifikasi teknikal bagaimanapun masih kekal sama, antaranya dikuasakan enjin 199.5cc dengan gandingan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan keluaran kuasa maksimum 24.5PS @ 9,750rpm dengan tork maksimum 18.6Nm @ 8,000rpm.

Spesifikasi lain ialah tangki bahan api 13 liter, fork depan teleskopik dengan sesendal anti geseran, suspensi belakang monoshock nitrox dengan kanister, brek cakera depan tunggal 300 mm dengan sistem ABS satu saluran dan brek cakera belakang 230 mm.

Harga yang ditawarkan masih kekal sama seperti mana model tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM 9,990.00 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan). Model itu akan berada di semua wakil pengedar sah Modenas mulai tarikh 26hb. Mac 2021 akan datang.

Sumber : Careta.my