BMW G 310 RR 2023 rasmi dilancarkan di pasaran India, harga bermula dari RM 15,873.26

BMW Motorrad India kelmarin dengan rasminya melancarkan sebuah model sport bike terbaharu iaitu BMW G 310 RR 2023. Model bergaya sporty dan agresif itu hadir dalam dua pilihan warna Black Storm Metallic (varian asas) dan termasuklah gabungan warna Lightweight UNI, Racing Blue Metallic dan Racing Red UNI untuk varian Style Sport.

BMW G 310 RR dibangunkan dengan asasnya daripada model TVS Apache RR 310, dan ianya dikuasakan enjin yang sama iaitu bersesaran 312.12cc (water-cooled, single-cylinder, 4-stroke engine, four valves, two overhead camshafts). Enjin bertaraf Euro 5 itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan Anti-hopping Clutch, dan menawarkan prestasi maksimum 34PS @ 9,700rpm dengan tork maksimum 27.3Nm @ 7,700rpm.

Melengkapkan lagi spesifikasi BMW G 310 RR ialah teknologi Ride by Wire, empat mod tunggangan iaitu Track, Urban, Sport dan Rain, panel meter TFT 5.0 inci, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan terbalik, suspensi belakang tunggal (Pre-load Adjustable), brek ABS dua hala, tangki petrol 12 liter, tinggi pelana 811 mm, dan berat penuh 174 kg.

BMW G 310 RR 2023 berdiri di atas tayar depan dan belakang dalam saiz 110/70-R 17 dan 150/60 R 17, yang membaluti sepasang rim lima bilah yang sporty (cast aluminium wheels). Untuk pasaran India, harga jualannya ialah INR 285,000 (RM 15,873.26) untuk varian asas, dan INR 299,000 (RM 16,653.00) untuk varian Style Sport. Untuk pasaran Malaysia pula, adakah model sport bike ini akan dilancarkan pada masa akan datang?