Yamaha NMAX 2022 terima kemaskini warna baharu di pasaran Malaysia, harga asas RM 9,498.00

Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini secara rasmi memperkenalkan Yamaha NMAX 2022, yang kini telah menerima kemaskini dua pilihan warna terbaharu iaitu Matte Green dan Matte Blue. Harga jualan asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 9,498.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Harga itu sebenarnya telah meningkat sebanyak RM 200.00, jika dibandingkan dengan harga Yamaha NMAX 2021 yang sebelum ini ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 9,298.00. Aspek teknikal pula tiada sebarang perubahan, di mana ianya dikuasakan enjin bersesaran 155cc dengan teknologi VVA dan dipadankan sistem transmisi V-belt.

Yamaha NMAX merupakan sebuah model skuter yang sporty dan bergaya, didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri yang menarik. Enjinnya menghasilkan kuasa maksimum 15.4ps (11.3kW) 8,000rpm, dengan janaan tork maksimum 13.9Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 7.1 liter, untuk jarak perjalanan yang lebih jauh.

Yamaha NMAX 2022 seterusnya dilengkapi Smart Motor Generator untuk penghidupan enjin yang lebih senyap, lampu utama dengan enam mentol LED, lampu belakang LED, lampu keselamatan hazard, paparan panel meter digital LCD yang lebar, butang menu, sistem Stop & Start, serta ruang kaki yang cukup luas untuk tunggangan lebih selesa.

Ciri-ciri praktikal lain yang melengkapi model skuter itu ialah soket pengecas 12V untuk mengecas telefon bimbit dan ruang di bawah tempat duduk seluas 23.3 liter yang boleh memuatkan topi keledar full face berukuran XL. Lebih dari itu, setiap pembelian Yamaha NMAX 2022 akan menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma.