Suzuki perkenal dua model skuter terbaharu Address 125 dan Avenis 125 2023 untuk pasaran Eropah

Suzuki pada 13hb. Julai 2022 baru-baru ini dengan rasminya mengumumkan ketibaan dua model skuter terbaharu iaitu Suzuki Address 125 2023 dan juga Suzuki Avenis 125 2023, untuk pasaran Eropah. Suzuki Address 125 kini tampil dengan gaya retro, dengan sentuhan krom yang menawan dan elegan, lampu depan berbentuk lengkung dan bulat daripada jenis LED sepenuhnya, dan enjin yang kini mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Model tersebut juga didatangkan dengan tempat duduk yang mewah, panel meter jenis analog bersaiz besar dengan paparan digital, dan disertai paparan iluminasi Suzuki Eco Drive yang membantu penunggangnya untuk mencapai tahap ekonomi tertinggi. Suzuki Address dikuasakan enjin 124cc (four-stroke, single-cylinder, air-cooled, SOHC) dengan transmisi CVT, yang menghasilkan 8.7PS @ 6,750rpm dengan tork 10Nm @ 5,500rpm.

Menurut Suzuki, enjin terbaharu itu dilengkapi teknologi SEP (Suzuki Eco Performance) yang menawarkan keseimbangan di antara prestasi dan ekonomi bahan api. Di bawah tempat duduknya ialah ruangan barangan yang luas dengan dua pencangkok utiliti, dan poket storan depannya dilengkapi dengan soket USB. Suzuki Address 2023 mempunyai lantai kaki yang rata dan luas, dan tempat duduk yang empuk untuk keselesaan terbaik.

Bagi model Avenis 125, ianya turut dikuasakan enjin yang sama, namun dengan rupa paras dan penampilan yang lebih sporty dan tajam. Ciri-ciri menarik pada model skuter itu termasuklah lampu depan dan belakang LED, panel meter digital LCD sepenuhnya dengan paparan Eco Drive Indicator, ruangan storan di bawah tempat duduk dan poket storan, dan juga ruang kompatmen pada bahagian atas depan untuk lebih kemudahan.

Suzuki Address 125 2023 dan Suzuki Avenis 125 2023 masing-masing dilengkapi tayar depan dan belakang dalam saiz 90/90-12 dan 90/100-12. Tinggi tempat duduk Address 125 ialah 770 mm dan 780 mm untuk Avenis 125. Kapasiti tangki petrol Address 125 ialah 5.0 liter, manakala tangki bahan api Avenis 125 ialah 5.2 liter. Menurut Suzuki, dua model terbaharu itu akan mula dijual di pasaran Eropah mulai bulan Oktober 2022 ini.