Untuk pasaran Thailand, Yamaha baru-baru ini telah memperkenalkan Yamaha Exciter 155 2022, dalam dua pilihan warna terbaharu GP Blue dan RC Black. Harga jualannya ditetapkan sebanyak THB 69,900, bersamaan RM 8,770.96 (kadar semasa). Spesifikasi teknikalnya pula kekal sama seperti mana model yang dilancarkan pada tahun 2021.
Berbanding Yamaha Y16ZR di pasaran Malaysia, Yamaha Exciter 155 untuk pasaran Thailand ini merupakan versi standard iaitu tanpa sistem kunci pintar, manakala sistem brek cakera depannya hanya dilengkapi angkup brek satu piston sahaja. Untuk pasaran Thailand, model ini juga merupakan pengganti kepada model Yamaha Exciter 150.
Imbas kembali, Yamaha Exciter 155 dikuasakan enjin 155cc dengan teknologi VVA, dan menawarkan kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm. Sistem transmisinya ialah enam kelajuan, dan turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Untuk tunggangan lebih sporty, model itu dilengkapi tuas klac pendek.
Untuk makluman, Yamaha Exciter 155 di pasaran Thailand ini juga tidak dilengkapi port pengecas atau soket kuasa 12V DC untuk mengecas telefon bimbit. Bagaimanapun ciri-ciri lain tetap menarik, antaranya seperti lampu depan dan belakang LED, panel meter digital LCD sepenuhnya, serta tangki bahan api dengan kapasiti lebih besar 5.4 liter.