Pada beberapa hari yang lepas, model moped berkelajuan tinggi Suzuki Raider R150 Fi 2022 rasmi dilancarkan di pasaran Thailand. Bagi musim ini, model tersebut ditawarkan dengan dua pilihan warna terbaharu, dan ianya berbeza dengan dua pilihan warna yang ditawarkan di pasaran Malaysia. Spesifikasi teknikal pula didapati masih kekal sama.
Suzuki Raider R150 Fi 2022 di pasaran Thailand, sama seperti mana di pasaran negara kita, dikuasakan enjin bersesaran 147.3cc (liquid cooled, DOHC, 4 valves, fuel injection) dengan kuasa maksimum 18.2hp @ 10,000rpm dan tork setinggi 13.8Nm @ 8,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan yang lancar.
Suzuki Raider R150 Fi turut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik, seperti Suzuki Easy Start System untuk menghidupkan enjin dengan mudah, New Shutter Key System yang lebih selamat, lampu depan LED yang agresif, paparan panel meter digital dengan pelbagai informasi, dan juga ruang storan di bahagian tengah motosikal yang praktikal.
Selain itu, Raider R150 Fi mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 765 mm, berat motosikal hanya 111 kg, tangki bahan api 4.0 liter, fork teleskopik pada bahagian depan dan monoshock di bahagian belakang, brek cakera depan dan belakang, ukuran tayar depan 70/90-R17 dan tayar belakang 80/90-R17, serta jarak kelegaan bumi 150 mm.
Untuk pemilik Suzuki Raider R150 Fi di pasaran Malaysia, mereka mempunyai banyak pilihan cover set yang boleh dibawa masuk sama ada dari Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina. Malah lampu signal jenis ‘capang’ untuk Raider R150 Fi juga mudah untuk diubahsuai, bagi menjadikannya sama seperti mana versi di pasaran negara Thailand.