Yamaha 135LC Fi 2022 generasi terbaharu dilancarkan untuk pasaran Malaysia, harga asas bermula dari RM 7,798.00

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada hari ini dengan rasminya melancarkan model moped Yamaha 135LC Fi 2022 generasi terbaharu, bagi menggantikan model generasi sebelumnya iaitu Yamaha 135LC 2021. Menurut HLYM, model tersebut hanya eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja, bermakna ianya tidak akan dijual di negara-negara lain.

Yamaha 135LC Fi 2022 tampil dengan empat pilihan warna yang cukup menarik seperti Ruby Red, Midnight Star dan Crystal Cyan untuk varian Standard, manakala varian S.E atau Special Edition hadir dengan warna tunggal Desert Storm. Harga jualan asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 7,798.00 sahaja untuk varian Standard, kemudiannya RM 8,198.00 untuk varian S.E (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Dari segi reka bentuk keseluruhannya, ternyata Yamaha 135LC Fi 2022 ini mempunyai gaya penampilan yang lebih segar, lebih moden dan juga lebih sporty jika dibandingkan dengan beberapa generasi Yamaha 135LC sebelumnya. Model tersebut turut menerima beberapa naik taraf terbaharu terkini yang cukup menarik, melibatkan pelbagai aspek.

Yamaha 135LC Fi 2022 masih lagi dikuasakan enjin bersesaran 135cc (sejukan cecair, 4-lejang, SOHC, 4-injap), namun enjin itu kini dilengkapi sistem suntikan bahan api atau Fuel Injection (Fi), membolehkannya menepati piawaian emisi Euro 4. Jumlah kuasanya kini mencapai 12.47hp @ 8,000rpm, dengan tork setinggi 12.2Nm @ 6,000rpm. Untuk perjalanan lebih jauh pula, ianya kini dibekalkan tangki petrol dengan kapasiti 4.6 liter.

Yamaha 135LC Fi 2022 turut menggunakan kerangka baharu yang kini lebih ringan dan kukuh, menjadikannya lebih dinamik dan ergonomik, dan dikatakan sangat sesuai untuk tunggangan harian. Sistem kunci pula menawarkan cara yang mudah untuk membuka tempat duduk, dengan hanya memusing ke kiri, tanpa perlu lagi menarik keluar kunci.

Lebih menarik lagi Yamaha 135LC Fi 2022 dilengkapi speedometer digital baharu, yang tampil lebih bergaya dan lengkap dengan paparan pelbagai maklumat. Ianya juga tampil lebih jelas dalam pelbagai keadaan cuaca dan tunggangan. Namun, paling mengujakan sekali ialah kelengkapan lampu hadapan LED dan lampu pilot serba baharu, begitu juga dengan lampu belakang LED, yang tampil lebih agresif, lebih sporty dan lebih terang.

Ciri keselamatan pada model moped tersebut juga telah ditambah baik. Yamaha 135LC Fi 2022 kini telah dilengkapi sistem brek cakera belakang dan juga lengan ayun rekaan baharu, untuk kuasa membrek yang lebih stabil. Tidak dilupakan ialah ciri aerodinamik turut dipertingkatkan, melalui reka bentuk cowling baharu yang mengurangkan geseran serta tekanan angin di bahagian lutut, untuk tunggangan yang lebih lancar dan selesa.

Bagi varian Special Edition, ianya ditawarkan secara eksklusif bakul Yamaha 2-dalam-1, yang mana ianya hadir dengan ruang soket pengecas USB tertutup untuk perlindungan alatan mudah alih semasa digunakan. Ciri-ciri standard lainnya termasuklah fork depan jenis teleskopik, suspensi belakang monoshock, tayar berukuran 70/90-17 (depan) dan 80/90-17 (belakang), ketinggian tempat duduk 775 mm, dan berat 109 kg (wet weight).

Akhir sekali, Yamaha 135LC Fi 2022 ini merupakan sebuah model moped dengan klac auto, yang dikatakan paling berkuasa di dalam kelas 135cc. Tanpa klac tangan manual seperti mana model-model moped yang lain, ciri tunggangannya bukan sahaja menjadi lebih mudah dan lebih selesa, malah sangat sesuai untuk semua golongan pengguna.

Artikel berkaitan :

Yamaha 135LC Fi 2022 atau Honda RS150R 2022, mana satu pilihan terbaik untuk anda?