Yamaha 135LC Fi 2022 atau Honda RS150R 2022, mana satu pilihan terbaik untuk anda?

Model moped Yamaha 135LC Fi 2022 generasi terbaharu rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia kelmarin, dalam dua varian Standard dan SE. Sementara itu pada tarikh 03hb. Mac 2022 baru-baru ini, Boon Siew Honda turut melancarkan generasi terbaharu model moped Honda RS150R 2022, yang turut tampil dengan beberapa naik taraf terkini.

Dengan pelancaran kedua-dua model moped tersebut dalam tempoh yang berdekatan, ramai peminat motosikal tempatan kini berasa rambang mata untuk memilih yang mana satu di antara kedua-duanya. Baik Yamaha 135LC Fi atau pun Honda RS150R, kedua-duanya tampil sporty dan menawan, dengan harga jualan asas yang tidak jauh berbeza.

Yamaha 135LC Fi ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 7,798.00 untuk varian Standard, manakala varian SE dijual dengan harga asas sebanyak RM 8,198.00. Harga jualan asas untuk Honda RS150R pula ialah RM 8,299.00, bermakna perbezaan di antara kedua-dua model itu dalam lingkungan RM 101.00 ke RM 501.00 sahaja.

Namun begitu harga jualan On The Road (termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan) yang akan ditetapkan oleh kedai-kedai motosikal atau wakil penjual Yamaha dan Honda pastinya berbeza, yang dijangkakan boleh mencapai antara RM 9k sehinggalah ke paras RM 10k. Yang pasti, harga kedua-dua model itu nanti adalah hampir sama.

Disebabkan itulah, adalah sukar untuk memilih di antara kedua-dua model tersebut, jika harga menjadi faktor utama pembelian. Namun jika melihat kepada paras rupa, Yamaha 135LC Fi mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Namun jika prestasi enjin dan juga kelajuan yang dimahukan, Honda RS150R sudah pasti menjadi pilihan paling tepat.

Yamaha 135LC Fi, pada masa yang sama tampil dengan ciri klac auto, bermakna ianya lebih mudah untuk ditunggang. Mungkin inilah salah satu ciri yang menjadi antara faktor kenapa ramai yang akan memilih Yamaha 135LC Fi. Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada ciri klac auto itu akan menjadi faktor utama pembelian Yamaha 135LC Fi.

Sama ada Yamaha 135LC Fi 2022 atau pun Honda RS150R 2022, kedua-duanya bakal menawarkan pengalaman tunggangan yang tersendiri, dengan harga jualan yang tidak terlalu jauh berbeza. Tiada istilah rugi atau baik beli, memandangkan kedua-dua model itu sama cantik dan sporty. Mungkin faktor jenama akan menjadi penentu terakhir.

Galeri : Yamaha 135LC Fi 2022

Galeri : Honda RS150R 2022