Suzuki Raider R150 Fi 2022 kini rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 8,173.00

Setelah lama menanti, akhirnya model moped terbaharu Suzuki Raider R150 Fi 2022 kini rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, dalam majlis pelancaran yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, sebentar tadi. Paling megujakan ialah harga jualan asasnya, iaitu sebanyak RM 8,173.00 sahaja (tanpa pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Dengan pelancarannya itu, Suzuki Raider R150 Fi bakal berentap dengan model-model moped popular lain di pasaran Malaysia, antaranya ialah Yamaha Y16ZR, Honda RS-X, Honda RS150R, SYM VF3i 185, Benelli R18i, dan termasuklah generasi terbaharu Yamaha 135LC Fi 2022 yang baru saja dilancarkan pada dua hari yang lepas.

Berbanding pesaing-pesaingnya yang lain, Suzuki Raider R150 Fi dilengkapi enjin yang paling berkuasa di dalam kelasnya. Enjin 147.3cc (satu silinder, sejukan cecair, DOHC, 4-injap) dengan sistem ‘fuel injection’ itu menghamburkan prestasi maksimum 18.2hp @ 10,000rpm, dan tork 13.8Nm @ 8,500rpm. Enjin itu dipadankan transmisi 6-kelajuan.

Suzuki Raider R150 Fi turut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik, seperti Suzuki Easy Start System untuk menghidupkan enjin dengan mudah, New Shutter Key System yang lebih selamat, lampu depan LED yang agresif, paparan panel meter digital dengan pelbagai informasi, dan ruang storan di bahagian tengah motosikal yang praktikal.

Selain itu, Raider R150 Fi mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 765 mm, berat kering motosikal 109 kg, tangki bahan api 4.0 liter, fork teleskopik pada bahagian depan dan monoshock di bahagian belakang, brek cakera depan dan belakang, ukuran tayar depan 70/90-R17 dan tayar belakang 80/90-R17, serta jarak kelegaan bumi 150 mm.