Selain daripada model moped Suzuki Raider R150 Fi 2022, Suzuki Malaysia pada hari ini turut melancarkan dua buah lagi model dalam segmen naked dan sport iaitu Suzuki GSX-S150 2022 dan Suzuki GSX-R150 2022. Kedua-dua model itu ditawarkan dengan harga jualan asas masing-masing sebanyak RM 10,289.00 dan RM 11,329.00 sahaja.
Suzuki GSX-S150 dan Suzuki GSX-R150 kedua-duanya dikuasakan enjin yang sama iaitu bersesaran 147.3cc dengan teknologi DOHC 4-valve, yang seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai paras 18.9PS @ 10,500rpm, dengan tork maksimum 14Nm @ 9,000rpm.
Selain mempunyai reka bentuk yang sporty dan agresif, Suzuki GSX-S150 dan Suzuki GSX-R150 turut hadir dengan pelbagai ciri-ciri menarik seperti tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 11 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang mono, sistem brek cakera depan dan belakang, lampu depan LED, dan juga paparan meter digital LCD.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan, dan juga pilihan warna untuk kedua-dua model naked dan sport itu, kita tunggu maklumat rasmi daripada pihak Suzuki Malaysia. Sementara itu, di bawah berikut ialah gambar-gambar menarik kedua-dua model naked dan sport itu yang ditawarkan di pasaran luar negara.