Yamaha XSR700 2022 diperkenalkan di pasaran Eropah, kini tampil dengan kemaskini baharu

Model sport heritage Yamaha XSR700 2022 kini diperkenalkan di pasaran Eropah, dan tampil dengan beberapa kemaskini baharu. Sekali pandang ianya hampir sama dengan model Yamaha XSR700 2020, tambahan pula penampilan terkininya tidaklah seradikal Yamaha XSR900 2022, namun tetap membawakan beberapa perubahan yang baharu.

Antara yang baharu pada Yamaha XSR700 2022 ialah rekaan lampu depannya, diambil daripada model Yamaha XSR900. Lampu signal depan pula kini berada di posisi bawah berdekatan radiator, menggantikan posisi sebelum ini yang bersebelahan lampu utama. Panel meter turut dianjak lebih ke depan untuk pandangan lebih sporty dan lebih jelas.

Untuk memudahkan penunggang menukar fungsi paparan meter, suis baharu kini telah ditambah pada handlebar. Perubahan baharu lain melibatkan kemaskini fork depan dan brek cakera depan yang kini mempunyai ukuran 298 mm. Dua pilihan warna pula ialah Historic White dan Historic Black, diinspirasikan daripada model Yamaha RD350LC.

Selain versi standard, Yamaha XSR700 XTribute 2022 turut diperkenalkan, dalam satu pilihan warna iaitu Tech Black, inspirasi daripada warna Yamaha XT500. Model tersebut juga menerima kemaskini baharu sama seperti XSR700, namun tampil berbeza dengan tayar berlainan yang bercirikan off-road, tempat duduk rata dan handlebar lebih lebar.

Yamaha XSR700 2022 dan Yamaha XSR700 XTribute 2022, kedua-duanya dikuasakan enjin CP2 bersesaran 689cc (2-cylinder, 4-valves, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC) yang bertaraf Euro 5, seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 73.4PS @ 8,750rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm.

Ciri-ciri lain ialah sistem lampu LED sepenuhnya, tangki bahan api 14 liter, brek cakera depan dan belakang dengan ABS, roda depan 120/70-R17, roda belakang 180/55-R17, tinggi tempat duduk 835 mm dan berat 188 kg (wet weight). Di rantau ASEAN, Yamaha XSR700 setakat ini hanya ditawarkan untuk pasaran Thailand dan Singapura sahaja.

Galeri : Yamaha XSR700 2022

Galeri : Yamaha XSR700 XTribute 2022