Yamaha XSR700 model tahun 2020, harga bermula £7,445.00 di pasaran UK

Yamaha XSR700 merupakan sebuah model motosikal bergaya retro dengan penampilan yang cukup menarik dan cool. Sayangnya model seperti ini tidak ditawarkan di pasaran Malaysia. Di pasaran UK, Yamaha XSR700 model tahun 2020 dijual pada harga bermula dari £7,445.00, bersamaan RM 39,747.36 (kadar semasa).

Melihat kepada spesifikasi teknikalnya, Yamaha XSR700 dikuasakan enjin bersesaran 689cc (2-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves) yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum pada angka 74.8PS @ 9,000rpm dengan tork puncak 68.0Nm @ 6,500rpm.

Yamaha XSR700 mempunyai berat basah 186 kilogram, tangki bahan api 14 liter, ketinggian tempat duduk 835 mm dan jarak kelegaan bumi minimum 140 mm. Model ini turut dilengkapi fork depan jenis teleskopik, penyerap hentak belakang tunggal, dan tayar depan belakang masing-masing dengan ukuran 120/70 R17 dan 180/55 R17.

Menurut Yamaha, XSR700 menawarkan binaan casis yang kompak dan ringan, prestasi pengendalian yang tangkas dan rekaan lampu depan dan belakang yang mengambil inspirasi daripada rekaan vintaj. Untuk model tahun 2020, Yamaha XSR700 hadir dengan dua pilihan warna yang diberi nama Dynamic White dan Tech Black.