Suzuki Katana 2022 kini lebih berkuasa dan patuh piawaian emisi Euro 5, terima naik taraf sistem elektronik

Pada bulan November yang lepas, Suzuki telah memperkenalkan Suzuki Katana 2022 terbaharu, yang kini telah menerima beberapa perubahan terkini. Antaranya ialah model naked tersebut kini tampil dengan dua pilihan warna terbaharu Metallic Matt Stellar Blue dan Solid Iron Grey, serta enjin yang lebih berkuasa dan patuh piawaian emisi Euro 5.

Enjin 999cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) itu kini menghamburkan kuasa maksimum 152PS @ 11,000rpm, dengan tork setinggi 106Nm @ 9,250rpm. Selain naik taraf di bahagian ekzos dan enjin (new intake and exhaust camshaft, new valve springs, new exhaust, and a new airbox), model itu turut menerima naik taraf sistem elektronik.

Sistem elektronik baharu yang diperkenalkan untuk Suzuki Katana 2022 kali ini adalah seperti sistem Ride-by-wire Electronic Throttle, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Bi-directional Quick Shifter dan Suzuki Clutch Assist System. Low RPM Assist dan Suzuki Traction Control System (STCS) pula kini didatangkan dalam versi kemaskini baharu.

Suzuki Katana 2022 masih menggunakan kerangka twin-spar aluminium dan swingarm ringan daripada GSX-R, dengan fork depan KYB boleh laras sepenuhnya dan penyerap hentak belakang boleh laras (preload and rebound damping). Sistem brek cakera depan dan belakangnya daripada Brembo dan Nissin, serta lengkap dengan ABS dua saluran.

Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 12 liter, ketinggian tempat duduk 825 mm, dan berat keseluruhan 215 kg. Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Katana model tahun 2021 telah dilancarkan pada bulan Ogos 2021 yang lepas, dengan harga jualan asas sebanyak RM 77,989.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).