SYM baru-baru ini telah memperkenalkan skuter sporty SYM Jet X 125 TCS 2022 dan SYM Jet X 150 TCS 2022, yang telah menerima beberapa naik taraf terkini. Naik taraf pertama ialah kedua-dua model tersebut kini telah dilengkapi Traction Control System (TCS), manakala naik taraf kedua ialah ianya kini dilengkapi Keyless System 2.0.
Menurut SYM, Keyless System 2.0 kini dikatakan lebih berorientasikan pengguna dan lebih mudah dikendalikan. Ianya mempunyai mod pencucuhan kecemasan (emergency ignition mode), yang membolehkan pemilik untuk menghidupkan enjin walaupun bateri fob kunci lemah. Ciri tersebut pastinya berguna dalam situasi yang tidak dijangkakan.
Selain itu, sama seperti model GPX Drone 4-Valves 2022 di pasaran Thailand, SYM Jet X kini turut dilengkapi enjin dengan teknologi 4-valves, bagi menggantikan teknologi 2-valves pada model generasi sebelumnya. Sistem brek ABS juga kini merupakan ciri standard, termasuk pilihan sistem brek versi CBS untuk varian SYM Jet X 125 TCS.
Di pasaran Malaysia, SYM Jet X 150 2021 telah dilancarkan pada Mei 2021 yang lalu, dengan harga asas RM 8,888.00 untuk versi Standard dan RM 9,188.00 untuk versi SE. Dijangkakan selepas ini, generasi terbaharu model skuter tersebut akan turut menerima beberapa naik taraf terbaharu itu, seperti mana generasi terkini SYM Jet X TCS 2022.