QJ Motor SRT750 di pasaran China, adakah pasaran Malaysia akan menyusul tidak lama lagi?

Pada bulan Oktober 2021 yang lalu, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. secara rasminya telah mengumumkan bahawa mereka telah dilantik sebagai pengedar tunggal QJ Motor untuk pasaran Malaysia. QJ Motor bersama-sama Benelli merupakan jenama pengeluar motosikal dari negara China, dan dimiliki oleh Zhejiang Qianjiang Motorcycle Co., Ltd.

Menurut MForce, kemasukan pertama model-model QJ Motor untuk pasaran Malaysia bakal bermula pada suku kedua tahun 2022 akan datang. Bagaimanapun buat masa ini belum dapat dipastikan model manakah yang akan dibawa masuk oleh QJ Motor, yang pasti ianya akan memenuhi citarasa ramai peminat motosikal di pasaran tempatan.

Di pasaran China, salah sebuah model menarik keluaran QJ Motor ialah sebuah model adventure yang dikenali dengan nama QJ Motor SRT750. Model berkenaan ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu dengan rim aloi atau rim lidi, dengan harga jualan masing-masing ialah sebanyak CNY 51,719 (RM 34,064.33) dan CNY 55,719 (RM 36,698.90).

QJ Motor SRT750 dilengkapi enjin bersesaran 754cc (In line 2 cylinders, 4-stroke, liquid cooled, 8 valves, DOHC) dengan transmisi enam kelajuan, dan menghamburkan kuasa maksimum 80hp @ 9,000rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm. Model yang mempunyai berat 236 kg dan 256 kg itu dilengkapi kapasiti tangki bahan api 18.5 liter.

Pelbagai ciri-ciri menarik telah melengkapi QJ Motor SRT750, agar ianya mampu untuk bersaing dengan model-model adventure terkenal yang lain. Antaranya ialah casis dan lengan ayun yang kuat dan tegar, fork depan upside-down, suspensi belakang tunggal, sistem brek Brembo dengan ABS, sistem lampu LED dan juga panel meter digital IPS.

Sebagai sebuah model adventure dan juga touring sebenar, QJ Motor SRT750 ini turut dilengkapi set lengkap kotak barangan sisi dan atas, khusus untuk kemudahan sewaktu aktiviti pengembaraan jarak jauh. Untuk anda yang mementingkan kelajuan, QJ Motor telah mengesahkan bahawa model ini mampu mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Sumber gambar : Halomoto