Honda 400X 2022 di pasaran Jepun terima naik taraf terkini

Untuk pasaran domestik Jepun, Honda memperkenalkan model adventure Honda 400X 2022 terbaharu, yang kini telah menerima naik taraf terkini yang lebih menarik. Menurut Honda, model tersebut akan berada di pasaran mulai 17hb. Januari 2022 akan datang, dalam dua pilihan warna baharu Pearl Glare White dan Matte Ballistic Black Metallic.

Naik taraf terkini untuk Honda 400X 2022 antaranya ialah ianya kini telah dilengkapi fork depan terbalik Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) berdiameter 41 mm. Untuk keselamatan, sistem brek cakera di bahagian roda depannya kini tampil sebagai versi berkembar dengan kaliper dua piston daripada Nissin, dan dilengkapi sistem ABS.

Selain itu, agihan beban di bahagian belakang dan depan telah dioptimumkan semula, melalui penggunaan lengan ayun yang lebih ringan dan kukuh, serta pengurangan berat roda hadapan. Naik taraf yang telah diterima itu seterusnya menyumbang kepada tahap prestasi cengkaman yang lebih berkesan dan pusingan roda hadapan yang lebih baik.

Naik taraf seterusnya melibatkan lampu depan yang kini lebih terang, di samping corak nyalaan cahaya telah diubah semula untuk lebih keterlihatan. Sebagai tambahan, lampu posisi kini telah diubah kepada lampu isyarat membelok agar keterlihatannya kini lebih jelas. Spesifikasi enjin pula masih kekal sama seperti mana model tahun sebelumnya.

Honda 400X 2022 dikuasakan enjin bersesaran 399cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, inline 2-cylinder) dengan kelengkapan teknologi suntikan bahan api PGM-FI, dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Untuk tunggangan yang lebih mudah, model adventure itu turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 46PS @ 9,000rpm, dengan tork puncak 38Nm @ 7,500rpm.

Honda 400X 2022 mempunyai tangki bahan api dengan isian penuh 17 liter, ketinggian tempat duduk 800 mm, jarak kelegaan bumi minimum 150 mm, dan berat 199 kg. Ianya juga dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital dengan paparan pelbagai info, dan sistem Emergency Stop Signal untuk tahap keselamatan lebih baik.

Rekaan rim roda aluminium yang ringan pula menyumbang kepada pengendalian yang lebih tangkas dan lincah. Rim roda sporty itu kemudiannya dibaluti tayar depan dalam siri 110/80-R19 dan tayar belakang dalam siri 160/60-R17. Akhir sekali harga jualannya ditetapkan sebanyak 858,000 Yen, bersamaan RM 31,977.36 mengikut kadar semasa.