Yamaha FZ150i model tahun 2017 di pasaran Malaysia, versi terakhir tanpa ada pengganti baharu

Salah sebuah model naked yang pernah mewarnai dunia permotoran tanah air ialah Yamaha FZ150i. Ianya diperkenalkan pada tahun 2008, manakala versi terakhirnya dilancarkan pada tahun 2017. Berdasarkan sumber maklumat dari internet, pengeluaran Yamaha FZ150i di pasaran Malaysia berakhir secara rasmi pada tahun 2018.

Generasi baharu Yamaha FZ150i sebenarnya masih lagi dijual di pasaran Indonesia, dikenali dengan nama Yamaha Vixion. Tampil dengan reka bentuk baharu sepenuhnya pada tahun 2017, Yamaha Vixion versi paling terkini model 2020/2021 masih lagi dijual di negara jiran itu dalam tiga versi iaitu Vixion, Vixion MotoGP Edition dan Vixion R.

Adalah menghairankan kenapa pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tidak lagi menawarkan Yamaha FZ150i generasi baharu, setelah pelancaran Yamaha YZF-R15 pada tahun 2018. Sedangkan kedua-dua model tersebut Yamaha FZ150i dan Yamaha YZF-R15 merupakan dua model yang berbeza segmen iaitu naked dan sport bike.

Bagi versi terakhir Yamaha FZ150i 2017 di pasaran Malaysia, ianya diperkenalkan pada bulan Jun 2017, dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Kuning, Biru dan Merah, seperti mana anda boleh melihatnya dalam galeri yang disediakan di bawah. Setakat ini belum ada sebarang maklumat sekiranya HLYM akan melancarkan semula Yamaha FZ150i.