Malaguti Spectre GP 125 2022 diperkenalkan di pasaran Greece, adakah pasaran Malaysia bakal menyusul?

Sebuah model moped terbaharu yang dikenali dengan nama Malaguti Spectre GP 125 2022 baru saja diperkenalkan di pasaran Greece. Model tersebut diedarkan oleh KSR Hellas, yang merupakan anak syarikat milik KSR Group yang berpengkalan di Austria. Malaguti pula merupakan sebuah syarikat pengeluar basikal, skuter dan motosikal dari Itali, dan telah dibeli secara rasminya oleh KSR Group pada tahun 2018 yang lalu.

Malaguti Spectre GP 125 2022 dikatakan bakal berada di pasaran Greece secara rasmi mulai bulan Januari tahun depan. Reka bentuk model berkenaan sememangnya sudah dikenali di pasaran ASEAN, terutamanya di pasaran Filipina. Namun apa yang berbeza ialah kapasiti enjinnya hanya bersesaran 125cc dan bukannya 150cc. Enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5 itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.

Dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api EFI, enjin tersebut menawarkan keluaran kuasa maksimum 11hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 9.6Nm @ 6,500rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 5.0 liter. Spesifikasi menariknya yang lain termasuklah sistem brek cakera depan 320 mm dan brek cakera belakang 190 mm, bersama-sama sistem brek CBS, rim aloi bersaiz 17 inci, tayar tanpa tiub, dan suspensi belakang monoshock.

Malaguti Spectre GP 125 2022 turut dilengkapi panel meter gabungan takometer analog dan paparan digital, sistem lampu LED, dan tiga pilihan warna yang menarik dan sporty. Untuk peminat model ini di pasaran Malaysia, anda perlu menunggu pelancaran sebuah model moped terbaharu oleh WMoto Malaysia pada keesokan hari. Mana tahu model ini akan turut dilancarkan, dengan kapasiti enjin yang lebih besar dan juga lebih bekuasa.

Sumber : Bikeit.gr