Yamaha Aerox 155 2021 dilancarkan di pasaran India, harga jualan bermula dari RM 7,324.77

Yamaha Aerox 155 atau juga dikenali dengan nama Yamaha NVX, merupakan model skuter popular di rantau ASEAN. Kini ianya turut dilancarkan di pasaran India baru-baru ini, dalam tiga pilihan warna iaitu Racing Blue, Grey Vermillion dan juga Monster Energy MotoGP Edition. Harga jualannya pula bermula dari Rs.1,29,000 (RM 7,324.77).

Seperti mana yang kita semua telah maklum, Yamaha Aerox 155 dilengkapi enjin 155cc dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA), dan kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi CVT. Enjin empat lejang, sejukan udara, SOHC dan 4-valve itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 15PS @ 8,000rpm, dengan tork 13.9Nm @ 6,500rpm.

Yamaha Aerox 155 dibekalkan Smart Motor Generator System, teknologi baharu untuk menghidupkan enjin dengan lebih senyap, dan Stop & Start System yang meningkatkan lagi tahap kecekapan penggunaan bahan api. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan api model skuter tersebut kini didatangkan dengan kapasiti lebih besar iaitu 5.5 liter.

Di bahagian casis, Yamaha Aerox 155 dilengkapi fork depan jenis teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar, sistem brek cakera depan 230 mm dengan ABS, dan roda depan dan belakang dalam ukuran 110/80-R14 dan 140/70-R14. Tempat duduk berada pada ketinggian 790 mm, jarak kelegaan bumi 145 mm dan berat penuh ialah 126 kg.

Ciri-ciri sporty dan kemudahan yang disediakan termasuklah lampu depan LED dengan lampu posisi LED, lampu belakang LED, poket depan dengan soket pengecas, sistem kunci pelbagai fungsi, ruang di bawah tempat duduk seluas 24.5 liter, tempat duduk dua aras yang selesa dan tongkat sisi dengan fungsi suis pemati enjin untuk keselamatan.

Akhir sekali, Yamaha Aerox 155 2021 untuk pasaran India turut dilengkapi panel meter digital LCD bersaiz 5.8 inci dengan ciri Multi Information Display (MID), dengan paparan pelbagai informasi penting dan berguna. Ianya juga boleh dihubungkan ke telefon bimbit pintar menggunakan aplikasi Yamaha Y-Connect melalui sistem sambungan Bluetooth.