Web Analytics
Yamaha NVX V2 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas bermula dari RM 8,998.00 – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Yamaha NVX V2 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas bermula dari RM 8,998.00

Model skuter terbaharu Yamaha NVX V2 2021 akhirnya rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia pada hari ini oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM). Pelancaran model skuter tersebut berlangsung secara live melalui laman Facebook rasmi Yamaha Motor Malaysia sebentar tadi, telah memberikan kita semua maklumat mengenainya.

Untuk pasaran tempatan, Yamaha NVX V2 2021 hadir dalam versi Standard dan ABS, bermakna perbezaan di antara kedua-dua versi tersebut tentunya melibatkan sistem brek ABS yang melengkapi brek cakera di bahagian roda depan. Perbezaan lain ialah warna Merah dan Cyan untuk Standard dan Platinum SE dan GP Blue untuk ABS.

Paling menarik, harga jualan asasnya yang ditawarkan juga boleh dikatakan berpatutan iaitu bermula dari hanya RM 8,998.00 untuk versi Standard, diikuti harga asas sebanyak RM 10,998.00 untuk versi ABS. Bukan itu sahaja, rekaan dan penampilan Yamaha NVX V2 2021 ini juga kelihatan sangat sporty dan anggun, membuatkan ramai yang terpikat.

Ciri terpenting pada model tersebut dan pertama untuk model-model keluaran Yamaha di Malaysia ialah sistem aplikasi Yamaha Y-Connect yang boleh dihubungkan melalui telefon bimbit. Aplikasi tersebut membolehkan pemiliknya mendapatkan notifikasi dan maklumat penting, termasuk waktu penyelenggaraan dan tahap penggunaan petrol.

Selain itu antara yang baharu ialah Yamaha NVX V2 2021 kini dilengkapi enjin 155cc VVA (Variable Valve Actuation) dengan prestasi maksimum yang lebih berkuasa iaitu sebanyak 15.15hp (11.3kW) @ 8,000rpm dengan tork maksimum 13.9Nm @ 6,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT yang lancar.

Ciri-ciri lain yang melengkapi model skuter sporty berkenaan termasuklah lampu depan LED rekaan baharu, panel meter digital berwajah baharu yang terang dan jelas dengan pelbagai info, sistem Smart Key, sistem Stop & Start dan port pengecas telefon bimbit. Kapasiti penuh tangki bahan api juga kini lebih besar sehingga 0.9 liter kepada 5.5 liter.

Yamaha NVX V2 2021 turut mempunyai ruang storan di bawah tempat duduk seluas 25 liter, dilengkapi tayar depan dan belakang dengan ukuran yang lebar, sistem suspensi belakang dengan tangki minyak hidraulik (untuk versi ABS sahaja) serta rekaan baharu tempat duduk yang kini lebih selesa untuk penunggang dan juga untuk pembonceng.

 
Arena Motosikal © 2023