Honda Motor Vietnam melalui laman Facebook rasmi mereka telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut bakal melancarkan sebuah model motosikal terbaharu pada tarikh 29hb. September 2021. Namun setakat ini belum dapat dipastikan model apakah yang bakal dilancarkan itu, namun ianya dikatakan model serba baharu sepenuhnya.
Sebelum ini telah dikhabarkan bahawa Honda Motor Vietnam bakal melancarkan model moped terbaharu Honda Winner X 2022. Namun begitu melalui paparan imej ‘teaser’ di atas, model yang akan dilancarkan itu mungkin Honda CBR150R 2021, kerana rekaan lampu depan model tersebut yang mirip dengan paparan ‘mata’ dalam imej berkenaan.
Honda CBR150R 2021 sebelum ini telah dilancarkan di banyak pasaran lain, antaranya seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, Kemboja, Laos, Myanmar, Malaysia dan juga Thailand. Jadi adalah munasabah pasaran seterusnya untuk model sport bike itu adalah pasaran Vietnam. Untuk maklumat lebih tepat, sama-sama kita tunggu pelancarannya.