Honda CB500F 2022 terima naik taraf terkini lebih signifikan untuk pasaran Eropah

Honda Motor Europe baru-baru ini memperkenalkan model sport bike Honda CBR500R 2022 untuk pasaran Eropah, yang kini telah menerima beberapa naik taraf terkini yang lebih signifikan. Pada masa yang sama, versi naked untuk model tersebut iaitu Honda CB500F 2022 turut diperkenalkan, kini dengan beberapa naik taraf yang hampir sama.

Honda CB500F 2022 kini dilengkapi fork depan upside-down Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm, bersama-sama suspensi belakang yang ditala semula agar prestasinya selari dengan fork depan. Penggunaan lengan ayun baharu yang lebih ringan dengan ‘lateral flex’ lebih tinggi, turut meningkatkan prestasi pengendaliannya.

Lebih dari itu, cengkaman tayar hadapan Honda CB500F 2022 juga kini dikatakan lebih mantap. Rekaan rim roda baharu dan radiator yang lebih ringan kini menyumbang untuk berat motosikal yang lebih ringan. Sistem suntikan bahan api pada model tersebut juga telah ditala semula, bagi meningkatkan lagi perwatakan enjin agar ianya lebih responsif.

Paling mengujakan mungkin pada bahagian brek, apabila brek depannya kini dilengkapi cakera berkembar 296 mm dengan kaliper radial-mount dua piston. Seterusnya, lampu depan LED kini hadir lebih berkuasa bersama-sama lampu penunjuk posisi depan, yang kini menawarkan penglihatan yang lebih jelas untuk tahap keselamatan yang lebih baik.

Untuk musim 2022, Honda CB500F tampil dalam tiga pilihan warna terbaharu iaitu Matt Axis Grey Metallic, Pearl Smokey Gray dan Pearl Dusk Yellow, di samping pilihan warna terdahulu Grand Prix Red. Keempat-empat pilihan warna itu kini tampil lebih sporty dan segar, apabila ianya turut dipadankan dengan jalur grafik rekaan baharu yang terkini.

Di bahagian enjin, Honda CB500F 2022 masih dikuasakan enjin 471cc (liquid-cooled, 4-stroke, parallel twin, PGM-FI) bertaraf Euro 5, yang kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut menawarkan keluaran kuasa maksimum 47hp @ 8,600rpm, dengan tork puncak 43Nm @ 6500rpm.

Spesifikasi lain termasuklah kapasiti tangki bahan api 17.1 liter, panel meter digital LCD yang moden, sistem lampu LED, sistem brek ABS dual-channel, tinggi pelana 789 mm, saiz tayar 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang), sistem lampu Emergency Stop Signal, sistem sekuriti HISS (Honda Intelligent Security System), dan beratnya 189 kg.

Di pasaran Malaysia, Honda CB500F 2019 dilancarkan dalam bulan Jun 2019, dengan harga jualan asas sebanyak RM 33,999.00. Bagi model versi 2020, ianya tidak dibawa masuk oleh Boon Siew Honda. Oleh itu untuk versi terkini Honda CB500F 2022 ini, kita boleh menjangkakan yang ianya akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi.