Honda CBR500R 2022 terima kemaskini baharu, aspek pengendalian dan keselamatan kini dipertingkatkan

Salah sebuah model sportbike sporty yang ditawarkan di pasaran Malaysia oleh pihak Boon Siew Honda pada ketika ini ialah Honda CBR500R 2019. Model tersebut sebelum ini dilancarkan dalam bulan Jun 2019 yang lalu, dengan harga jualan asasnya sebanyak RM 34,499.00 sahaja (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Seterusnya pada bulan September 2020, Honda Motor Europe telah memperkenalkan versi kemaskini terbaharu Honda CBR500R 2020, dengan enjin patuh piawaian Euro 5 dan tampil dengan grafik dan logo rekaan baharu yang lebih menyerlah. Terkini, Honda Motor Europe mengumumkan pula ketibaan Honda CBR500R versi 2022 terbaharu.

Untuk musim 2022, Honda CBR500R kini didatangkan dengan beberapa kemaskini dan naik taraf terbaharu yang lebih signifikan, melibatkan peningkatan aspek pengendalian dan tahap keselamatannya. Antaranya ialah model tersebut kini dilengkapi fork depan jenis terbalik Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) berdiameter 41 mm.

Pada bahagian belakang pula, Honda CBR500R 2022 kini menerima lengan ayun atau swingarm baharu yang lebih ringan dengan ciri ‘lateral flex’ yang lebih tinggi. Suspensi monoshock belakang turut ditala semula agar ianya selari dengan prestasi fork baharu di bahagian depan. Prestasi cengkaman tayar depan juga kini dikatakan lebih mantap.

Selain itu, model tersebut kini dilengkapi rim roda yang direka semula dan radiator yang lebih ringan, serta talaan semula sistem suntikan bahan apinya bagi meningkatkan lagi perwatakan enjin. Paling mengujakan ialah brek depan kini didatangkan dengan cakera jenis berkembar 296 mm dengan kaliper radial-mount dua piston yang lebih berprestasi.

Peningkatan terakhir ialah lampu depan LED kini hadir lebih berkuasa dan menawarkan penglihatan yang lebih jelas, serta boleh didapati dalam pilihan warna baharu iaitu Matt Gunpowder Black Metallic. Pilihan warna terdahulu yang masih ditawarkan ialah Grand Prix Red, dan tampil dengan rekaan jalur grafik yang berbeza berbanding model 2021.

Honda CBR500R 2022 masih dikuasakan enjin dalam sesaran 471cc (liquid-cooled, 4-stroke, parallel twin, PGM-FI), yang menjana sehingga 47hp @ 8,600rpm dan 43Nm @ 6500rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, manakala tangki bahan api memiliki kapasiti 17.1 liter.

Ciri-ciri lain yang melengkapi Honda CBR500R 2022 ini termasuklah panel meter digital LCD yang moden, sistem lampu LED, sistem brek ABS dual-channel, tinggi pelana 785 mm, saiz tayar 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang), sistem lampu Emergency Stop Signal, sistem sekuriti HISS (Honda Intelligent Security System), dan berat 192 kg.