Di pasaran China, QJ Motor sebelum ini telah melancarkan model sport bike terbaharu QJ Race 350 2021, yang dilengkapi enjin berkapasiti 353cc dengan dua silinder. Terkini syarikat tersebut menawarkan pula sebuah model sport bike terbaharu dengan kapasiti enjin 249cc (liquid cooled, 1-cylinder, DOHC) dan padanan transmisi enam kelajuan.
Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai paras maksimum 27.5hp @ 9,500rpm, dengan tork maksimum 22.5Nm @ 7,250rpm. QJ Race 250 dilengkapi tangki bahan api 12.5 liter, ketinggian tempat duduk 780 mm, tayar depan dan belakang dalam saiz 110/70-R17 dan 140/60-R17 masing-masing, dan berat motosikal hanya 159 kg.
Ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut antaranya seperti fork depan terbalik, suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun sebelah (single arm), sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital TFT, sistem ekzos pendek di bawah enjin, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, dan dua pilihan skim warna yang tampil sporty.
Harga jualannya juga sangat menarik, iaitu sebanyak 19,999 Yuan sahaja, bersamaan RM 12,838.10. Untuk pasaran luar negara, tidak pasti sama ada QJ Race 250 2021 ini akan turut dilancarkan, seperti mana model-model keluaran Benelli. Setakat ini, model-model keluaran QJ Motor hanya dikhususkan untuk jualan di pasaran China sahaja.