Modenas Dominar D400 2021 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, terima naik taraf terkini, harga asas RM13,997.00

Pengeluar motosikal nasional Modenas hari ini dengan rasminya melancarkan sebuah model terbaharu iaitu Modenas Dominar D400 2021 di pasaran tempatan. Tampil dalam dua pilihan warna yang menarik iaitu Savanna Green dan Charcoal Black, harga jualan asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM13,997.00 (tanpa insuran dan cukai jalan).

Modenas Dominar D400 buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran Malaysia pada tahun 2018 yang lalu. Untuk versi tahun 2021 ini, model berkenaan telah menerima naik taraf terkini yang menambahkan lagi nilainya sebagai sebuah model sports tourer yang sporty dan kelihatan gagah, serta bersedia untuk menempuh perjalanan ke mana saja.

Modenas Dominar D400 2021 dikuasakan enjin bersesaran 373.3cc (single-cylinder, 4-stroke, DOHC, 4-valve, liquid-cooled, triple spark, FI), yang kini lebih berkuasa dengan hamburan maksimum 40PS @ 8,650rpm dan tork maksimum 35Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch.

Dengan kuasa enjin yang semakin bertambah dan talaan semula sistem transmisi untuk prestasi pecutan yang lebih baik, Modenas Dominar D400 2021 kini mampu melakukan pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam tempoh hanya 7.1 saat. Seterusnya, model touring itu turut dikatakan mampu mencapai tahap kelajuan maksimum sehingga 156 km/j.

Modenas Dominar D400 2021 kini dilengkapi fork depan jenis USD 43 mm, yang bukan sahaja menambahkan prestasi pengendaliannya, malah menawarkan lebih keselesaan. Brek cakera depan tunggal 320 mm kini telah dialihkan ke sebelah kiri, dan dipadankan dengan brek cakera belakang 230 mm, lengkap dengan sistem brek ABS dual-channel.

Selain itu, Modenas Dominar D400 2021 turut dilengkapi sistem ekzos baharu dengan ciri muffler berkembar (dual note exhaust), yang menghasilkan bunyi yang lebih agresif. Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah lampu depan LED jenis menegak dengan ciri AHO (automatic headlamps on) dan dua panel meter LCD dengan ciri penunjuk gear.

Modenas Dominar D400 2021 dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 13 liter, tayar depan dan belakang radial dalam saiz 110/70-R17 dan 150/60-R17, jarak kelegaan bumi 157 mm dan berat hanya 182 kg (kerb weight). Menurut Modenas, ianya akan berada di semua wakil pengedar sah Modenas mulai bulan September 2021 ini.